Anda di sini

Remaja tak mengaku lakukan kelucahan melampau terhadap kanak-kanak lelaki

Advertisement
 

KUCHING: Seorang remaja lelaki mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Majistret, hari ini atas dua pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menetapkan kes disebut semula untuk pengurusan kes pada 24 Februari depan, selain membenarkan remaja berusia 17 tahun itu untuk dibebaskan dengan jaminan RM5,000 dengan ibunya sebagai penjamin.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa merangsang mangsa yang ketika kejadian berusia lapan tahun untuk melakukan suatu perbuatan kelucahan melampau dengannya di sebuah rumah di sini, dalam satu kejadian antara 1 Januari 2021 dan 12 April 2021.

Difahamkan, tertuduh yang duduk sekampung dan merupakan kenalan kepada mangsa telah menyuruh mangsa memasukkan kemaluan tertuduh ke dalam mulut mangsa semasa kedua-dua kejadian berlaku.

Sehubungan itu, bagi pertuduhan pertama, remaja itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement