Anda di sini

Murid SK Mangkapon Pitas akan disediakan perahu besar

Advertisement
 Harun (tiga kiri) turut sama menaiki perahu yang digunakan murid SK Mangkapon semasa lawatan itu.
SESAK: Harun (tiga kiri) turut sama menaiki perahu yang digunakan murid SK Mangkapon semasa lawatan itu.

KOTA KINABALU: Selepas kisah murid Sekolah Kebangsaan (SK) Mangkapon Pitas bersesak menaiki perahu kecil untuk ke sekolah tular di media sosial, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengkoka Harun Durabi berjanji akan menyediakan peruntukan untuk membeli perahu yang lebih besar.

Khabar gembira itu disampaikan semasa lawatannya ke jeti pengkalan SK Mangkapon semalam bagi melihat sendiri keadaan murid dari Kampung Pituru Timbang Taun menaiki perahu ke sekolah.

Harun menjelaskan, selain bantuan perahu, jaket keselamatan juga disediakan oleh pihak Pejabat Daerah Pitas.

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar ini berkata, terdapat kira-kira 29 murid SK Mangkapon tinggal di Kampung Pituru Timbang Taun yang menggunakan perahu kecil terbabit untuk ke sekolah.

"Jumlah itu terlalu ramai untuk menaiki perahu bersaiz kecil. Justeru, dalam lawatan kali ini, saya memaklumkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Mangkapon untuk menyediakan kemudahan pengangkutan yang lebih selesa untuk murid yang tinggal di kampung berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, dengan adanya kemudahan dan kelengkapan yang disediakan itu ia boleh menjamin keselamatan kesemua murid berkenaan untuk ke sekolah.

Sebelum ini, tular di media sosial murid terpaksa bersesak menaiki perahu kecil tanpa memakai jaket keselamatan untuk ke sekolah.

Kejadian itu mendapat perhatian dan reaksi daripada pelbagai pihak yang menganggap isu terbabit perlu dipandang serius pihak kerajaan.
 

  • oleh
  • Advertisement