Anda di sini

Keberkesanan bantuan pertanian perlu dikaji

Advertisement

Pulau Bruit, DARO: Bantuan pertanian yang disalurkan kerajaan wajar dibuat kajian terperinci keberkesanan atau impak sosioekonomi atau tahap pendapatan keluarga untuk mereka yang telah menerima pelbagai jenis bantuan pertanian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Datuk Abdullah Saidol yang berkata demikian, menambah, tiada data lengkap dan terperinci tentang impak bantuan pertanian dari segi menaiktaraf pendapatan setiap penerima bantuan.

“Kita tidak mahu bantuan ini hanya kelihatan cantik di atas kertas tapi tahap pendapatan keluarga petani masih tidak berubah,” katanya pada Program AgriCOP anjuran Jabatan Pertanian Mukah di Dewan Masyarakat Tekajong di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Pegawai Pertanian Bahagian Mukah Malissa Bonaventure, Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Matu Daro Wahad Kawi, Pegawai Tadbir Sarawak Pejabat Daerah Daro Yusuf Hussin dan semua ketua masyarakat.

 Abdullah bersama para tetamu lain pada Program Agrocop anjuran Jabatan Pertanian Mukah di Dewan Masyarakat Tekajong pada Rabu.
Abdullah bersama para tetamu lain pada Program AgriCOP anjuran Jabatan Pertanian Mukah di Dewan Masyarakat Tekajong pada Rabu.

Beliau juga meminta agensi-agensi berkaitan, memantau secara konsisten prestasi semua penerima bantuan pertanian sejak sekian lama agar mereka tidak mensia-siakan bantuan.

Harapannya, supaya kerajaan negeri dapat meneruskan Program AgriCop atau program-program bantuan yang sesuai dengan peruntukan lebih besar supaya hasrat kerajaan mewujudkan lebih banyak kawasan bekalan makanan dapat tercapai.

Abdullah yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) berkata, sejak akhir-akhir ini aktiviti berkebun dan bertani semakin diminati dan diceburi oleh warga belia dengan kaedah lebih moden dan produktif.

“Sebab itu sesi pencerahan ilmu dan pengetahuan tentang pelbagai aspek pertanian harus lebih agresif. Bantuan pelbagai input atau peralatan pertanian mestilah tepat ke sasaran penerima yang komited dan berpotensi,” jelasnya.

Banyak kawasan pesisir yang subur mempunyai potensi untuk dijadikan kawasan pembekal makanan tani dan laut atau taman pertanian, juga berpotensi menjadi kawasan tarikan pelancongan.

Dalam pada itu, beliau menyeru warga muda dalam kawasan DUN Semop supaya menubuhkan persatuan supaya pelbagai program atau bantuan dapat diurus atau dikoordinasi secara kelompok dan efektif.

Abdullah juga menyatakan komitmen untuk sentiasa menyokong dan membantu dalam mendapatkan peruntukan sewajarnya, termasuk memperkasakan peranan kaum wanita dalam memproses hasil tani menjadi produk seperti keropok, kerepek dan produk lain.

“Secara tidak langsung kaum ibu juga dapat membantu suami menambah pendapatan keluarga ketika musim tengkujuh atau ketika aktiviti berkebun tidak dapat dijalankan kerana kita sekarang sedang menghadapi cuaca tidak menentu,” ujarnya.

Menurutnya, dalam masa dua tahun lagi, sistem penghubungan jalan raya di Pulau Bruit ke kawasan luar akan menjadi lebih baik terutama bila dua jambatan penghubung ke pulau ini siap dibina.

“Adalah menjadi harapan saya supaya di Pulau Bruit terutama di kawasan Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) akan diwujudkan tapak niaga besar bagi aktiviti runcit dan pemborongan utama di zon tengah utk hasil laut dan tani dari seluruh Pulau Bruit termasuk kawasan sekitar,” katanya.

Sementara itu, Malissa berkata kos keseluruhan bagi Program Agricop untuk DUN Semop sehingga hujung 2021 ialah RM1,471,350.00.

Program yang diperkenalkan pada 2020 ini telah melibatkan 290 orang peserta yang turut melibatkan pemberian bantuan pelbagai jenis input dan peralatan pertanian kepada peserta yang layak.

“Misi besar Program AgriCop ini selain dari menaiktaraf sosioekonomi masyarakat tani di luar bandar, ialah untuk membina kelompok warga tani dan kawasan yang akan dijadikan pusat pengumpulan dan bekalan makanan terutama dari hasil tani dan laut,” jelasnya.

Advertisement