Anda di sini

Enam rumah musnah dalam kebakaran

Advertisement
 Api marak memusnahkan enam rumah penduduk di Jalan Mogonibung Kampung Koidupan.
TERBAKAR: Api marak memusnahkan enam rumah penduduk di Jalan Mogonibung Kampung Koidupan.
 Pasukan bomba menjalankan operasi memadam kebakaran di Jalan Mogonibung Kampung Koidupan di sini.
PADAM: Pasukan bomba menjalankan operasi memadam kebakaran di Jalan Mogonibung Kampung Koidupan di sini.

PENAMPANG: Lebih enam keluarga kehilangan tempat tinggal selepas enam rumah musnah terbakar di Jalan Mogonibung Kampung Koidupan di sini semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Misran Bisara berkata kebakaran bermula jam 3.30 petang sebelum pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang bergegas ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman.

“Disebabkan keadaan kebakaran dalam skala besar, pasukan BBP Penampang terpaksa mendapatkan bantuan daripada BBP Kota Kinabalu.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan sumber air dari jentera bomba dan pasukan bomba terpaksa mengambil masa hampir sejam untuk mengawal kebakaran dari merebak ke kawasan lebih luas,” katanya.

Tambahnya kebakaran dapat dikawal jam 4.29 petang dan kejadian tidak menyebabkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Katanya setakat jam 5 petang semalam operasi masih diteruskan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Kes ini adalah kejadian kali kedua yang berlaku di daerah ini membabitkan kemusnahan beberapa buah rumah disebabkan kebakaran.

Kejadian pertama berlaku membabitkan empat rumah dan lima kenderaan musnah terbakar seawal jam 6.30 pagi pada 13 Januari lalu di Kampung Suok Batu Jalan Cyber City di sini.

Kebakaran menyebabkan 43 mangsa kebakaran kehilangan tempat tinggal dan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kibouvong Penampang.

  • oleh
  • Advertisement