Anda di sini

Buka sempadan untuk pelancongan, ambil kira perkembangan COVID-19 seluruh dunia

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Keputusan untuk membuka semula sempadan bagi kemasukan pelancong dari luar negara perlu mengambil kira perkembangan jangkitan COVID-19 negara lain.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, hampir seluruh negara di dunia masih tidak membuka sempadan untuk kemasukan pelancong luar.

Sehubungan itu katanya, pembukaan semula sempadan khususnya di Sabah untuk pelancong dari luar negara perlu dipertimbangkan secara teliti dengan mengambil kira aspek risiko jangkitan COVID-19.

"Saya tahu keghairahan beberapa pihak yang meminta supaya sempadan dibuka semula kerana ramai yang mengeluh kekurangan pelancong seperti dari China memberi kesan kepada ekonomi.

"Bagaimanapun, sebelum kita mengeluh pasal 'kekeringan' pelancong China, saya juga mahu mereka fikir bahawa China sendiri mempraktikkan pendekatan yang lebih ketat berbanding negara lain di dunia.

"Jangan kerana keghairahan untuk menerima pelancong dari negara tertentu, kita buka risiko yang lebih tinggi terhadap jangkitan dalam kalangan rakyat Sabah," katanya.

Beliau ditemui media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor bagi merasmikan majlis Penyampaian Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) dan Pelancaran BAGUS, BISBAH dan AKSA 2022 di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Masidi berkata, isu pembukaan sempadan bukan sekadar isu pelancongan tetapi ia turut melibatkan isu kesihatan sejagat. Justeru, sudut pandangan secara global perlu diambil kira secara menyeluruh.

"Sekiranya sempadan dibuka lagi, ia perlu melibatkan peraturan antarabangsa iaitu bukan peraturan satu hala, tetapi melibatkan peraturan bersama dengan negara-negara lain.
 
"Sebelum ini saya cadangkan negara Asean supaya menentukan protokol dalam kalangan negara Asean, iaitu protokol perjalanan bersama yang akan memudahkan perjalanan sambil memberi penekanan kepada keselamatan kesihatan," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru pihak industri pelancongan supaya bersabar memandangkan kekurangan pelancong luar mengakibatkan sektor berkenaan 'parah'.

Pihaknya turut mengesa supaya pihak industri memberi fokus kepada pelancongan tempatan yang mampu mendatangkan hasil yang lebih baik.
 

  • oleh
  • Advertisement