Anda di sini

Arifin dijangka adakan jelajah ke seluruh PPD di negeri ini

Advertisement
 Arifin (tengah) menyampaikan limau kepada masyarakat di sekitar Pekan Membakut.
AGIH: Arifin (tengah) menyampaikan limau kepada masyarakat di sekitar Pekan Membakut.



MEMBAKUT: Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Arifin Arif merancang untuk mengadakan lawatan ke seluruh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri ini bagi mengenal pasti keperluan yang memerlukan perhatian.


Jelas beliau, pihaknya akan mengadakan program jelajah ke setiap daerah untuk mendapatkan input daripada PPD serta Pejabat Daerah bagi membantu sekolah-sekolah yang memerlukan perhatian, untuk dibantu secara berperingkat.


"Saya akan membuat lawatan ke seluruh PPD di negeri ini bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai keperluan mereka. Setelah itu, kita akan cari jalan bagaimana untuk kita bantu mereka sewajarnya, " katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengagihkan sumbangan limau sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2022 kepada masyarakat di sekitar Pekan Membakut baru-baru ini.


Tular di media sosial, baru-baru ini beberapa gambar dikongsi seorang pengguna tentang sekumpulan murid sekolah menaiki bot tanpa memakai jaket keselamatan dan bersesak untuk ke sekolah hingga membangkit kerisauan ramai pihak.

 Arifin (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian masyarakat semasa mengagihkan limau di sekitar Pekan Membakut.
 ALBUM: Arifin (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian masyarakat semasa mengagihkan limau di sekitar Pekan Membakut.


Dalam perkembangan berkaitan, Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut berkata, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan khas untuk diagihkan sebanyak RM2,000 kepada setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di semua sekolah seluruh Sabah.


Menurutnya, agihan berkenaan akan dilaksanakan dalam siri jelajah pihaknya pada bulan depan ke seluruh daerah bagi melaksanakan beberapa program bantuan pendidikan daripada kerajaan.


"Sejurus Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor melancarkan program itu bulan ini, kita akan melaksanakan agihan itu melalui siri jelajah pada Februari depan.


"Peruntukan ini meliputi semua PIBG sekolah termasuk sekolah rendah atau menengah, Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) RM2,000 setiap sekolah di Sabah.


"Lebih 1,000 PIBG di seluruh negeri ini bakal mendapat manfaat sekaligus dapat melaksanakan segala program dan aktiviti yang telah dirancang," katanya.


 

  • oleh
  • Advertisement