Anda di sini

Wanita Vietnam didenda terlibat pelacuran

Advertisement
 

KUCHING: Seorang wanita warganegara Vietnam didenda RM2,300 atau empat bulan penjara sekiranya gagal membayar di Mahkamah Majistret, hari ini selepas mengaku bersalah terlibat dengan aktiviti pelacuran, awal Januari lalu.

Pengakuan itu dibuat oleh tertuduh, Tran Thi Huyen, 33, yang berasal dari Hai Phong, Vietnam, sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 372B dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, wanita tersebut didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan pada 3 Januari lalu, jam lebih kurang 8.30 malam di sebuah bilik hotel di Jalan Ban Hock di sini. 

Hasil siasatan mendapati tertuduh mengaku menjalankan aktiviti pelacuran di sebuah bilik di premis tersebut dan berlaku tawar menawar antara tertuduh dengan anggota polis yang menyamar menjadi pelanggan, melibatkan kadar bayaran RM250.

Sehubungan itu, selain wang tunai, turut dirampas adalah sekeping kondom, kunci bilik dan resit pembayaran sewa bilik hotel berkenaan.

Sebelum dijatuhkan hukum, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu merayu agar tidak dijatuhi hukuman berat dengan alasan dia mempunyai seorang anak berusia bawah dua tahun untuk ditanggung.

Tertuduh juga memaklumkan mahkamah bahawa dia telah berkahwin dengan lelaki tempatan serta suaminya tidak bekerja buat masa ini dan oleh itu dia terpaksa melibatkan diri dalam kegiatan tersebut.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali. 
 

  • oleh
  • Advertisement