Anda di sini

Ranau rekod satu kluster baharu 

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Satu kluster baharu libatkan institusi pendidikan dikesan di Ranau hari ini membabitkan Kluster Puri Ranau yang merekodkan tujuh kes baharu COVID-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kes indeks kluster berkenaan adalah seorang pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ranau berumur 19 tahun yang dikesan positif setelah menjalani ujian kendiri kerana bergejala.

Katanya, ujian pengesahan COVID-19 dijalankan dan pelajar terbabit didapati positif. Saringan terhadap rakan sekelas dan sebilik kes turut dijalankan sebelum enam orang lagi didapati positif.

Menurutnya, kesemua pelajar perempuan berkenaan berada dalam kategori satu dan dua sahaja. Kesemuanya diasingkan serta diberi rawatan yang sesuai.

"Jumlah kes harian kembali meningkat dengan 201 kes baharu direkodkan iaitu pertambahan sebanyak 38 kes berbanding semalam.

"Terdapat sembilan daerah mencatatkan kes dua angka termasuk Kota Kinabalu 42 kes dan Tuaran 37 kes, manakala 10 daerah merekodkan kes satu angka dan lapan daerah tidak merekodkan sebarang kes baharu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, empat daerah mencatatkan peningkatan dua angka iaitu Tuaran, Tawau, Tambunan, dan Sandakan. Daerah-daerah yang mencatatkan penurunan dua angka pula termasuk Penampang, Putatan dan Ranau. Terdapat tiga daerah kekal sebagaimana catatan semalam.

Masidi berkata, sebanyak 196 daripada 201 kes baharu berada dalam kategori satu dan dua, empat kes dalam kategori tiga dan satu kes lagi dalam kategori empat. Tidak ada pesakit dalam kategori lima.

  • oleh
  • Advertisement