Anda di sini

Lelaki tak mengaku tertembak nenek saudara semasa berburu

Advertisement
Tertuduh (tengah) diiring polis keluar dari kamar mahkamah selesai sebutan kes.
Tertuduh (tengah) diiring polis keluar dari kamar mahkamah selesai sebutan kes.

KUCHING: Seorang lelaki tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan cuai hingga menyebabkan kematian nenek saudaranya ketika berburu di hutan di Kampung Plaman Buruk, Jalan Padawan pada 8 Januari.

Selain itu, tertuduh Domanic Ridis, 46, turut tidak mengaku mengaku bersalah apabila didakwa atas pertuduhan melepaskan tembakan menggunakan senapang patah dan menyebabkan kecederaan ke atas adik kepada nenek saudaranya dalam kejadian sama.

Mengikut pertuduhan pertama di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan cuai hingga menyebabkan kematian seorang petani wanita iaitu Manyot Dunggah, 76, di Kampung Plaman Dunuk di Jalan Padawan di sini, jam lebih kurang 12.45 tengah hari pada 8 Januari 2022. 

Jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali. 

Bagi pertuduhan kedua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 kerana melepaskan tembakan dan menyebabkan kecederaan ke atas seorang petani wanita iaitu Nancy Bungag, 73, juga dalam kejadian sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut keterangan kes, tertuduh yang keluar berburu seorang diri telah melihat kelibat seekor babi hutan dan dikatakan telah melepaskan satu das tembakan. 

Tertuduh bagaimanapun terdengar jeritan orang kesakitan sebaik sahaja tembakan dilepaskan dan terus bergegas menuju ke arah suara jeritan tersebut.

Tertuduh kemudiannya mendapati dia tertembak nenek saudaranya sendiri, selain mendapati adik kepada nenek saudaranya turut terkena tembakan di kaki sebelah kiri. 

Sebaik pengakuan tidak bersalah direkodkan, Majistret Zaiton Anuar menetapkan pengurusan kes pada 21 Februari depan. 

Mahkamah menawarkan tertuduh ikat jamin RM2,000 berserta seorang penjamin tempatan bagi kedua-dua pertuduhan yang dihadapinya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang.

Advertisement