Anda di sini

Kerajaan prihatin pembangunan usahawan wanita di Sabah 

Advertisement
 Juliah (tengah) menerima cenderakenangan daripada Myrna (dua kiri) selepas merasmikan Program Kepimpinan Dan Pameran Keusahawan Wanita.
CENDERAKENANGAN: Juliah (tengah) menerima cenderakenangan daripada Myrna (dua kiri) selepas merasmikan Program Kepimpinan Dan Pameran Keusahawan Wanita.

KOTA KINABALU: Usahawan wanita di negeri ini sentiasa mendapat perhatian kerajaan dalam program pembangunan wanita bagi membantu mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Isteri Ketua Menteri Datin Seri Panglima Juliah Salag berkata, dalam Belanjawan Negeri 2022, kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM17.6 juta iaitu RM11.8 juta kepada Yayasan Usaha Maju (YUM) dan RM5.8 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA).

Katanya, usaha yang diambil kerajaan menerusi peruntukan berkenaan membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan wanita di Sabah.

"Peruntukan ini disediakan bagi pelaksanaan program pembangunan modal insan untuk kesejahteraan wanita.

"Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan dana pembiayaan berjumlah RM230 juta bagi meningkatkan kapasiti perniagaan usawan wanita tahun ini.

"Antaranya melalui program Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita (DanaNITA) di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tekunita menerusi Tekun Nasional (TEKUN)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kepimpinan dan Pameran Keusahawanan Wanita (Woman Leadership and Entrepreneurs Showcase) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan dan Ekonomi Antarabangsa Sabah (SIBES) 2022 di sini hari ini.

Juliah berharap, Program Kepimpinan dan Pameran Keusahawanan Wanita dijadikan platform untuk usahawan wanita meneroka lebih luas peluang perniagaan bersama rakan lain termasuk berkongsi ilmu serta pengalaman.

Katanya, program berkenaan adalah platform paling sesuai untuk usahawan berkumpul bagi mengeratkan silaturrahim, berkongsi ilmu terutama perkara baharu dalam dunia perniagaan, merebut peluang yang bersesuaian seterusnya memanfaatkan fasiliti yang disediakan oleh kerajaan dan agensi kewangan.

Pada masa sama, beliau mahu acara itu dimanfaatkan sepenuhnya serta menjadi platform dalam membina keyakinan diri dalam mendepani cabaran.

"Rebutlah semua peluang yang disediakan dan manfaatkanlah sepenuhnya segala ilmu yang diperoleh menerusi program ini. Wanita juga perlu cekal bukan sahaja dalam aspek fizikal dan mental, tetapi kebolehan mengurus emosi terutama pada masa kita masih berhadapan dengan pandemik COVID-19.

"Syabas diucapkan kepada pihak penganjur kerana berjaya membuka satu lembaran pemula di awal tahun khususnya ke arah pembangunan dan kemajuan keusahawanan wanita di bawah inisiatif kerajaan negeri iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

"Dalam tempoh dua tahun ini kita melihat dan merasai kelembapan ekonomi kesan pandemik COVID-19. Golongan wanita juga terkesan secara langsung sama ada dalam bidang pekerjaan dan perniagaan," jelasnya.

Dalam pada itu katanya, dalam laporan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada November 2020, walaupun lelaki dan wanita dibebani dengan kerja tanpa peningkatan gaji semasa krisis COVID-19, wanita lebih cenderung melepaskan kerjaya bagi menumpukan perhatian dan tanggungjawab di rumah.

Beliau berkata, menerusi fakta berkenaan, peluang menceburi dunia perniagaan bagi wanita dan surirumah yang berminat dan berpotensi dalam dunia perniagaan, lebih terbuka luas.

Turut hadir, isteri Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datin Dayang Siti Noor Hayyat Ag Mohd Saufi; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Program Kepimpinan dan Pameran Keusahawanan Wanita sempena SIBES 2022 Myrna Jimenez; Pengasas RJKhan738 Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan; dan Pengarah JHEWA Rusnah Kuyung.
 

  • oleh
  • Advertisement