Anda di sini

Kerajaan negeri meterai tiga MoU libatkan pelabur SIBES 2022

Advertisement
 Hajiji (tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU di antara kerajaan negeri dengan BorneoMed Sdn.Bhd.
MOU: Hajiji (tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU di antara kerajaan negeri dengan BorneoMed Sdn.Bhd.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menandatangani tiga Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan Yayasan Sabah, Kementerian Pertanian dan Perikanan serta Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menyaksikan majlis menandatangani MoU itu bersama para pelabur sempena Sidang Kemuncak Perniagaan dan Ekonomi Antarabangsa Sabah (SIBES) 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Kementerian Pertanian dan Perikanan menandatangani MoU bersama BorneoMed Sdn. Bhd. bagi membangunkan Integrated Herbal Plantation (SIHP) dengan pelaburan bernilai RM350 juta.

Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Perikanan Datuk Dr. Mariana Tinggal yang mewakili kementerian manakala, Peguam Besar Negeri Datuk Nor Asiah Mohd Yusof selaku saksi.

BorneoMed diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif BorneoMed  Ahmad Fauzi dan disaksikan oleh Pengarah Eksekutif BorneoMed Francis Sina.

Pelaburan BorneoMed termasuklah dalam teknologi komersial seperti bahan penanaman, teknologi penanaman berketumpatan dan hasil tinggi, sistem Internet Kebendaan (IoT) atau pendigitan pertanian pintar, peralatan pemprosesan komersial, sistem pergudangan serta prasarana dan kemudahan lain.

MoU kedua melibatkan MID dengan pelabur dari China iaitu SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn. Bhd. bagi membangunkan kilang memproses pasir silika dan menghasilkan panel solar dengan nilai pelaburan permulaan sebanyak RM2 billion. 

MID diwakili oleh Setiausaha Tetap Kementerian Thomas Logijin dan disaksikan oleh Nor Asiah, sementara pihak SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn. Bhd. diwakili oleh presidennya Lin Hai dan Ketua Pegawai Eksekutif SBH Kibing Yao Xin Xi selaku saksi.

Projek pemprosesan pasir silika dan pembuatan panel solar ini akan membuka sekitar 2,000 peluang pekerjaan termasuk 80 peratus akan dikhaskan untuk pekerja tempatan. Keseluruhan operasi dijangka dimulakan pada 2024.

Lokasi kilang panel solar ini akan ditentukan sama ada di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) atau di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) yang memerlukan keluasan 130 ekar.

Kejayaan merealisasikan cadangan pelaburan SBH Kibing Group (M) Sdn Bhd adalah hasil kerjasama MID dengan jabatan dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan yang terlibat dalam memudahkan proses pelaburan.

MoU ketiga melibatkan kerjasama di antara Yayasan Sabah dan Pavilion Kota Kinabalu Sdn. Bhd. untuk pembangunan Pavilion Harbour City dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM2 bilion.

Yayasan Sabah diwakili oleh Pengarah merangkap Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn. Bhd. Datuk Gulamhaidar Khan Bahadar, disaksikan oleh Setiausaha Korporat Yayasan Sabah Hanafiah Diman.

Pihak Pavilion Kota Kinabalu Sdn. Bhd. pula diwakili oleh pengarahnya Jameson Pias, dan disaksikan oleh Pengurus Besar Pavilion Kota Kinabalu Sdn. Bhd Timmy Gan Ve Li.

Pavilion Kota Kinabalu Sdn. Bhd., rakan sekutu Kumpulan Pavilion adalah sebuah syarikat dan pemaju berpengalaman terkenal dalam pembangunan komersial dan kediaman mewah. 

Pembangunan ini meliputi kawasan atas laut (sea-land) seluas 30 ekar bersebelahan sempadan timur laut SICC dan bakal siap dalam tempoh sepuluh tahun.

Pavilion Harbour City merangkumi kediaman, restoran tepi laut, pasar nelayan, hotel mewah untuk penginapan, peranginan, serta aktiviti rekreasi. 

Jumlah peluang pekerjaan ketika pembangunan dijalankan dianggarkan seramai 1,000 orang, manakala kira-kira 2,000 orang akan mendapat peluang pekerjaan setelah pembangunan selesai kelak.
 

  • oleh
  • Advertisement