Anda di sini

Polis jalankan siasatan, kenal pasti insiden sebenar langgar lampu isyarat

Advertisement
MOHD ZAIDI
MOHD ZAIDI

KOTA KINABALU: Polis kini menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti insiden sebenar membabitkan seorang pemandu yang ditahan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu atas kesalahan melanggar lampu isyarat.

Kejadian terbabit berlaku pada 15 Januari lepas kira-kira jam 10 pagi di Batu 5 Jalan Lintas Kolombong dekat sini sebelum tular di media sosial sejak semalam.

Pemandu terbabit menafikan melakukan kesalahan itu dan mengeluarkan kenyataan menerusi laman Facebook berhubung tindakan polis yang mengenakan saman atas kesalahan 'jalan semasa lampu merah' dan turut menunjukkan bukti melalui rakaman 'dash cam' kenderaannya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan teliti daripada pelbagai sudut dijalankan untuk mengetahui situasi sebenar.

Katanya, semua anggota yang terlibat dalam operasi pematuhan undang-undang dan peraturan-peraturan lalu lintas turut diambil keterangan.

"Pemilik akaun Facebook berkenaan juga dipanggil bagi memberi keterangan dan rakaman 'dash cam' dari kenderaan serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lampu isyarat di lokasi kejadian yang diperoleh daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) turut diteliti," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan atau komen yang menggusarkan dan boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap mana-mana pihak serta boleh menjejaskan siasatan polis.

Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan yang terperinci ke atas mana-mana pihak yang melanggar undang-undang mahupun peraturan serta prosedur operasi tetap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

  • oleh
  • Advertisement