Anda di sini

Pasar Riyal semakin sesak, MPKS rancang wujud pasar awam baharu lebih besar 

Advertisement
Minos (dua kanan) pada penyerahan kunci kiosk Medan Selera Kota Samarahan di Taman Unigarden baru-baru ini bersama ADUN Stakan Datuk Hamzah Brahim (dua kiri).
Minos (dua kanan) pada penyerahan kunci kiosk Medan Selera Kota Samarahan di Taman Unigarden baru-baru ini bersama ADUN Stakan Datuk Hamzah Brahim (dua kiri).

KUCHING: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) merancang untuk mewujudkan sebuah pasar awam yang lebih besar lengkap dengan medan selera dikelilingi taman bunga dan permainan untuk pengunjungnya. 

Pengerusi MPKS Dato Peter Minos berkata Pasar Riyal sedia ada terlalu kecil dan semakin sesak dengan jumlah pengunjung yang semakin ramai kesan pertumbuhan pesat pembangunan dan populasi di Kota Samarahan. 

“Pihak majlis kini sedang mengenal pasti lokasi yang sesuai bagi pasar awam baharu ini dan cuba mendapatkan dana bagi membiayai kos pembinaan. 

“Jika bandar seperti Melbourne yang pernah sekali saya lawati boleh memiliki pasar awam yang cantik dan mesra pengguna (Victoria Market), mengapa kita tidak boleh. 

“Kami (MPKS) sedang mengusahakan idea itu di sini di Kota Samarahan dan jika sudah ada dana kita akan laksanakannya,” katanya. 

Dalam pada itu, MPKS menurut Minos telah menubuhkan Medan Selera berkonsepkan pasar malam yang pertama di Taman Unigarden baru-baru ini. 

Katanya sebanyak 32 gerai dibuka di Medan Selera tersebut yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman pada harga berpatutan. 

Medan selera tersebut katanya dibuka kepada orang ramai dan merupakan lokasi ideal bagi pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) selain Medan Selera Aiman Mall.

“Dalam merancang pembangunan termasuk medan selera, MPKS sentiasa mengambil kira kepentingan 30,000 pelajar UNIMAS dan UiTM. 

“Dengan mewujudkan lebih banyak medan selera di sekitar UNIMAS dan UiTM ia secara tidak langsung memberi pilihan kepada kumpulan pelajar ini untuk mendapatkan makanan dan minuman pada harga di bawah kemampuan mereka,” katanya. 

  • oleh
  • Advertisement