Anda di sini

MRS terima pengiktirafan untuk kutipan royalti

Advertisement
 Alexander (tengah) menyampaikan sijil kepada Asmin (kanan) sambil diperhatikan tetamu jemputan lain pada majlis itu.
DIIKTIRAF: Alexander (tengah) menyampaikan sijil kepada Asmin (kanan) sambil diperhatikan tetamu jemputan lain pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Music Rights Sabah Berhad (MRS) mendapat kelulusan sebagai badan pelesenan yang diiktiraf kerajaan dalam menjalankan aktiviti kutipan royalti.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bermula 7 Januari lepas, MRS mendapat kelulusan untuk mengutip royalti mewakili penyanyi, pemuzik dalam rakaman lagu, pembikinan video muzik dan syarikat rakaman tempatan melibatkan etnik tempatan Sabah.

Menurutnya, industri muzik di Sabah dan Sarawak sudah lama memohon kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mendapatkan pengiktirafan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, prosedur untuk proses permohonan itu mengambil masa yang agak panjang memandangkan ia perlu penelitian.

"Kita berharap pihak MRS dapat menggunakan pengiktirafan ini sebaiknya untuk memberi manfaat kepada semua yang terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Kepenggunaan KPDNHEP di sini semalam.

Alexander berkata, usaha itu juga membantu pihak MRS dalam menguruskan hak royalti di samping menjaga kebajikan ahli-ahli MRS dalam industri muzik.

Katanya, biarpun pada peringkat awal terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan pengiktirafan kepada MRS, namun permohonan berkenaan akhirnya diluluskan hasil kerjasama dengan beberapa pihak antaranya Ahli Parlimen Kimanis yang juga Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Datuk Mohamad Alamin.

MRS adalah badan pelesenan ketujuh menerima pengiktirafan sebagai pengawal hak cipta di bawah MyIPO yang berkuasa dalam mengutip hasil royalti muzik serta mengelurkan lesen penggunaan muzik.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Shahelmey Yahya; Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas dan Pengerusi yang juga Pengarah Urusan MRS Asmin Mudin.
 

  • oleh
  • Advertisement