Anda di sini

Kalaga FC bakal muncul warnai liga bola sepak SAFA

Advertisement
 Masiung (tiga dari kiri) memperagakan jersi rasmi serta logo Kalaga FC bersama Richin dan Hilton (tengah) sambil disaksikan Mansur dan William.
PELANCARAN: Masiung (tiga dari kiri) memperagakan jersi rasmi serta logo Kalaga FC bersama Richin dan Hilton (tengah) sambil disaksikan Mansur dan William.

KOTA KINABALU: Slogan 'Tatap Kalaga' yang popular dalam kalangan penduduk Tongod menjadi ilham warga belia di sini membentuk sebuah kelab bola sepak dari pantai timur dinamakan Kalaga FC.

Kelab itu akan didaftarkan sebagai sebuah pasukan dalam Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) tahun ini sebaik sahaja pemilihan pemain menerusi kejohanan domestik yang dianjurkan di peringkat daerah dan negeri.

Presiden Penaja kelab itu, Datuk Masiung Banah berkata Kalaga FC dijangka muncul sebagai pasukan yang bakal mewarnai liga bola sepak SAFA pada musim depan.

“Kita akan menganjurkan liga bola sepak di seluruh kawasan Kuamut dan daerah lain termasuk Kota Kinabalu untuk menjalankan sesi pemilihan pemain.

“Menerusi kejohanan itu nanti, sekurang-kurangnya 60 pemain akan dipanggil menjalani sesi latihan sebelum membentuk pasukan terbaik bagi menyarung jersi Kalaga FC,” katanya semasa melancarkan kelab tersebut, baru-baru ini.

Terdahulu, lebih 60 belia dan peminat bola sepak dari kawasan Kuamut dan Kota Kinabalu memeriahkan pelancaran kelab itu.

Kempen penubuhan kelab itu, diketuai pengasasnya, Ronley Saringan sedang diperkemaskan sebelum didaftarkan sebagai pasukan dalam liga SAFA awal tahun ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata seorang jurulatih tempatan bertauliah dan pengurus pasukan akan dilantik untuk membimbing skuad Kalaga FC.

“Kalaga FC dijangka muncul sebagai skuad yang bakal memberi cabaran terkuat dalam arena bola sepak di peringkat negeri.

“Kita tidak menolak kemungkinan akan mengambil beberapa orang pemain import tempatan dari Semenanjung Malaysia bagi memperkuatkan pasukan ini dalam kencah bola sepak di Sabah,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS) Sabah, Mansur Asun dan timbalannya, William Ahlan serta bekas Ahli Parlimen Ranau, Datuk Ewon Ebin.

Selain itu, hadir sama beberapa pengasas Kalaga FC, Richin Jikah dan Timbalan Pengerusi Warga Tongod Semananjug (WATOS), Helton Simon.

  • oleh
  • Advertisement