Anda di sini

Dua ditahan seludup keluar barang kawalan lebih RM170,000

Advertisement
 Antara barang kawalan yang dirampas ketika cuba diseludup keluar ke negara jiran.
RAMPASAN: Antara barang kawalan yang dirampas ketika cuba diseludup keluar ke negara jiran.

TAWAU: Baru dua hari dibebaskan dengan jaminan polis, dua penduduk tempatan ditahan sekali lagi ketika cuba menyeludup keluar barang kawalan bernilai lebih RM170,000 di Tanjung Saima, Pulau Sebatik, di sini semalam.

Sebelum ini suspek lelaki, 32, dan wanita, 35, itu ditahan Pasukan Zon Maritim Tawau ketika cuba menyeludup masuk kain batik dari negara jiran pada 14 Januari lalu.

Bagaimanapun, mereka sekali lagi menggunakan bot yang sama cuba menyeludup keluar pelbagai barang kawalan, kosmetik dan runcit ke negara jiran.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata tangkapan itu dilakukan pada jam 1.30 pagi.

“Pasukan Maritim yang menjalankan tugas Ops Cegah PTI Selatan mengesan pergerakan sebuah bot kargo dari arah perairan Batu 3 menuju sempadan perairan Malaysia-Indonesia.

“Bot yang sarat dengan muatan tersebut berjaya dipintas untuk tujuan pemeriksaan dokumentasi dan ke atas barang-barang yang dibawanya,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Katanya, penggeledahan menyeluruh ke atas bot berkenaan, menemukan pelbagai jenis barangan kawalan, kosmetik dan runcit yang dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.

“Antaranya, 1.6 tan gula pasir, 2.1 tan minyak masak berpaket, 3.4 tan tepung gandum, 1,764 set kosmetik pelbagai jenama dan barang-barang runcit yang dianggarkan bernilai RM173,506.

“Kosmetik tersebut juga dipercayai tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), selain status pendaftarannya yang meragukan,” katanya.

  Menurutnya, tekong bot terbabit gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan barang kawalan yang dibawa, malah telah mengemukakan dokumen Kastam yang meragukan.

“Selain itu, tekong terbabit turut mengabaikan aspek keselamatan di laut kerana tidak mempunyai pelampung keselamatan dan alat pemadam api,” katanya.

Katanya, nilai keseluruhan barang rampasan termasuk bot kargo dan enjin dianggarkan berjumlah RM212,956.

“Kedua-dua suspek kini telah ditahan reman dan semua barang rampasan berkenaan dibawa ke jeti Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kastam 1967, Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002,” katanya.

Siva berkata Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di pantai timur Sabah.

“Kerjasama dengan agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan demi memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement