Anda di sini

Asrama SMK Tun Fuad Stephens Kiulu perlu segera dibina

Advertisement
 Joniston (kanan) menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada pelajar yang memerlukan semasa lawatan itu.
SUMBANGAN: Joniston (kanan) menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada pelajar yang memerlukan semasa lawatan itu.

KIULU: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa menyegerakan kelulusan cadangan membina asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens dekat sini yang sekian lama tertangguh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu Datuk Joniston Bangkuai berkata, cadangan pembinaan asrama berkenaan hanya menunggu persetujuan KPM untuk dimulakan dan dijangka mampu menempatkan seramai 80 pelajar.
 
Katanya, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu turut menghantar surat kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) untuk dimajukan kepada pihak KPM.

Bagaimanapun jelasnya, selepas setahun surat berkenaan dihantar, pihak JPNS masih belum menerima sebarang maklum balas.

"Ini tidak sepatutnya berlaku kerana kebanyakan pelajar datang dari kampung terpencil dan keluarga yang berpendapatan rendah.
 
"Memandangkan asrama tidak ada, pelajar yang terlibat terpaksa menyewa bilik dari orang kampung semata-mata untuk tinggal berdekatan dengan sekolah," katanya.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar ini berkata demikian selepas mengagihkan bungkusan makanan kepada penduduk dan pelajar di Kampung Ranap di sini semalam.
 
Joniston berkata, pelajar luar bandar mempunyai potensi besar yang sama seperti pelajar di bandar, justeru kebolehan mereka tidak harus dihadkan tetapi dibangunkan.
 
Menurutnya, kerajaan perlu memainkan peranan yang berkesan dalam menyediakan pendidikan berkualiti dan sama rata dengan memenuhi keperluan khusus pelajar luar bandar bagi memastikan mereka mendapat akses pembelajaran dengan mudah.
 
Beliau turut menasihatkan para pelajar khususnya yang bakal menghadapi peperiksaan tidak lama lagi supaya belajar bersungguh-sungguh dan tabah walaupun datang dari latar belakang keluarga susah.
 
"Saya bukan berasal daripada keluarga berada, jadi saya faham cabaran yang dihadapi pelajar. Namun, kita tidak seharusnya menjadikan itu sebagai alasan untuk ponteng atau berhenti sekolah. Sebaliknya, cabaran ini seharusnya mendorong kita untuk melakukan yang lebih baik dan bekerja lebih keras.
 
"Kerja keras adalah kunci kejayaan dan kita harus fokus kepada pelajaran untuk membanggakan keluarga. Melihat kegigihan ibu bapa memberi pendidikan kepada anak-anak, kita harus menghargai pengorbanaan dan jasa mereka suatu hari nanti,” katanya.
 
Beliau juga menggalakkan para pelajar dari Kiulu untuk terus memupuk semangat belajar agar mereka menjadi contoh teladan bukan sahaja dalam kalangan komuniti, tetapi juga untuk negeri dan negara secara keseluruhan.
 
Semasa lawatan itu, beliau turut mengedarkan bungkusan makanan kepada Asrama Perempuan San Damiano, Pusat Latihan Belia Monfort Asrama Lelaki San Damiano, dan The Good Shepherd Services.
 
Bakul makanan itu disumbangkan oleh sekumpulan ahli perniagaan, yang diketuai oleh Collin Tan. Mereka berada di Kiulu untuk menjalankan aktiviti amal sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan turut menyumbangkan bekalan keperluan lain.
 

  • oleh
  • Advertisement