Anda di sini

Tze Yong tekad tingkat stamina, kelajuan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan badminton lelaki negara Ng Tze Yong bertekad meningkatkan stamina dan kelajuan untuk bersaing dengan barisan pemain terbaik dunia.

Pemain Johor berusia 21 tahun itu menduduki ranking ke-70 dunia, menamatkan kempennya di New Delhi selepas kecundang 21-19, 16-21, 12-21 kepada pemain nombor 17 dunia, Lakshya Sen dari India selepas berentap selama 67 minit pada saingan separuh akhir Terbuka India, semalam.

Ini adalah penampilan sulungnya pada Jelajah Dunia Super 500 (tahap tiga) Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Tze Yong, yang memperoleh pencapaian cemerlang pada 2021 dengan memenangi tiga kejuaraan menerusi Terbuka Poland, Antarabangsa Belgium dan Terbuka Scotland mengakui bahawa dia tidak dapat mengejar rentak Lakshya dalam perlawanan ketiga yang membawa kepada kekalahannya.

“Keseluruhannya saya gembira dengan keputusan kerana ini adalah penampilan sulung kejohanan 500 saya. Pada set pertama, saya tidak menghadapi sebarang masalah, pada set kedua saya hilang fokus apabila mendahului 12-10, sebelum dia (Lakshya) meningkatkan lagi kelajuan dalam set penentuan, yang tidak dapat saya ikuti.

“Saya rasa perlu berusaha untuk meningkatkan kelajuan, walaupun saya boleh menandingi kepantasannya dalam dua set pertama, saya tidak mampu dalam set penentuan,” katanya menerusi video Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini.

Tze Yong terpaksa bermain sehingga set penentuan sejak pusingan pertama, apabila dia mengejutkan pemain nombor 28 dunia Tommy Sugiarto dari Indonesia 21-16, 14-21, 21-5, sebelum mencatat kemenangan semula menentang pemain Perancis, Lucas Claerbout 20-22, 21- 15, 21-18 pada pusingan kedua dan Nhat Nguyen dari Ireland 9-21, 21-8, 21-16 pada suku akhir.

Beliau seterusnya akan beraksi dalam Antarabangsa India Syed Modi 2022 di Lucknow dari 18 hingga 23 Jan. - Bernama

Advertisement