Anda di sini

Skuad badminton para Sarawak sasar dua emas pada Para Sukma 2022 di Kuala Lumpur 

Advertisement
Zakaria (tiga kanan) menyampaikan jersi kepada Suhaili (dua kiri) sambil disaksikan Fatimah (tengah) di Winner Court, Jalan Burung Lilin di sini hari ini.
Zakaria (tiga kanan) menyampaikan jersi kepada Suhaili (dua kiri) sambil disaksikan Fatimah (tengah) di Winner Court, Jalan Burung Lilin di sini hari ini.

KUCHING: Sarawak menerusi skuad badminton para negeri menyasarkan dua pingat emas pada temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang dijangka diadakan pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, meskipun tarikh sebenar temasya berkenaan belum diputuskan, barisan atlet para tetap membuat persiapan.

"Para Sukma sepatutnya diadakan pada tahun lepas tetapi ditunda ekoran pandemik COVID-19.

"Walaupun, pada mulanya telah diumumkan untuk diadakan di Johor dan berkemungkinan bakal diadakan di ibu negara, jadi kita masih menunggu keputusan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) selaku penganjur," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Perlawanan Persahabatan yang diadakan di Winner Court, Jalan Burung Lilin di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Jurulatih Persatuan Badminton Para Sarawak Suhaili Laiman, Ketua Bahagian Pembangunan Awal Kanak-Kanak wakil Setiausaha Tetap KPWK Salina Bujang, wakil Pengarah JPN Sarawak Zakaria Idris, Pembantu Jurulatih Persatuan Badminton Para Sarawak Rahim Bujang, Pengurus Pasukan Persatuan Badminton Para Sarawak Abitt Nunong dan Pegawai Tadbir KWPK Matthew Chin Hiong Choi.

Kata Fatimah, atlet badminton para, Ashley Irenaeus Jack, 21 tahun kini kian bersinar serta lebih bersemangat dan dijangka akan membawa pulang pingat untuk Sarawak pada Para Sukma 2022 akan datang.

"Saya gembira kerana beliau dari seorang yang pemalu kini semakin menyerlah dan telah berkongsi pengalaman beliau sebagai seorang atlet para di sebuah program yang telah kita adakan di Dalat," katanya.
 
Tambahnya lagi, Ashley yang berasal dari Kampung Kekak telah digilap bakatnya sejak berada di bangku sekolah lagi pada usia 13 tahun dan kini sedang menuntut di Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM), Samarahan.

Mengenai perlawanan tersebut Fatimah berkata, ia merupakan anjuran strategik KPWK, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak yang telah menghantar 12 wakil pemain menentang 12 pemain para badminton Sarawak.

Pasukan JPN Negeri Sarawak diketuai, Pengerusi Biro Sukan Kelab Majlis Kebajikan, Kebudayaan dan Riadah (MADAH) JPN Sarawak, Belayong Layang.

Oleh itu, beliau berharap dengan adanya inisiatif sedemikian dapat memberikan sokongan moral kepada atlet para sebagai persedian awal bagi menghadapi kejohanan-kejohanan yang akan datang. 

Sementara itu, Suhaili memberitahu sasaran emas skuad badminton para negeri juga menerusi pemenang pingat emas kategori perseorangan wanita, Nursyazwani Shahrom, 30.

"Berkemungkinan emas juga bakal diperolehi daripada kategori badminton beregu SL3; atlet bermain secara berdiri dan mempunyai kecacatan di salah satu atau kedua-dua kakinya dan mempunyai masalah keseimbangan semasa berjalan atau berlari.

"Ataupun, kategori SL4; yang mana atlet bermain secara berdiri dan mempunyai kecacatan di salah satu atau kedua-dua kakinya dan tidak mempunyai masalah keseimbangan semasa berjalan atau berlari (atau kecacatan yang minimal)," tambahnya.

Pasukan yang sama juga bakal menyertai Sirkit Badminton Kebangsaan yang akan diadakan di Kuala Lumpur bermula dari 24 sehingga 27 Mac 2022 dan Para Sukma yang dijangka berlangsung pada Oktober 2022.

Pada Oktober lalu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memutuskan SUKMA 2020 di Johor yang sepatutnya berlangsung dari 2 hingga 10 April 2021 ditangguhkan ke 2024.

Bagaimanapun, KBS bersetuju supaya MSN menganjurkan SUKMA di Kuala Lumpur pada tahun depan.
 

  • oleh
  • Advertisement