Anda di sini

Pengendalian kargo di Pelabuhan Kuantan dijangka meningkat tahun ini 

Advertisement
 

KUANTAN: Pengendalian kargo di Pelabuhan Kuantan di sini dijangka meningkat sebanyak lima peratus pada tahun ini, daripada 22.9 juta tan metrik setahun yang dicatatkan pada tahun 2021, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (gambar).

Beliau menjangkakan kemasukan kapal ke pelabuhan yang mula beroperasi sejak tahun 1984 itu akan kembali rancak, dengan kehadiran lebih ramai pelabur ke Kuantan selain sektor ekonomi yang semakin pulih selepas terkesan dengan pandemik COVID-19.

“Pengendalian kargo pada tahun lalu adalah menurun daripada 27.3 juta tan metrik setahun yang direkodkan pada tahun 2020, disebabkan penularan COVID-19 yang menjejaskan banyak sektor ekonomi kerana terpaksa ditutup bagi membendung penularan wabak itu.

“Walaupun jumlah itu menurun, namun jika dibandingkan daripada tahun 2019 ia adalah meningkat sebanyak 4.5 peratus, yang menunjukkan potensi Pelabuhan Kuantan adalah sangat besar,” katanya pada sidang media selepas melawat dan melancarkan Polisi Hijau Pelabuhan Kuantan 2021-2030 di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuantan Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

Melihat kepada pekembangan dan kepesatan Kuantan, Wee memaklumkan perancangan pembesaran Pelabuhan Kuantan sudah mula dilaksanakan, bagi meningkatkan kapasiti pengendalian kargo sebanyak 50 juta tan metrik setahun buat masa ini, kepada 70 juta tan metrik bagi kerja fasa kedua dan 90 juta tan metrik apabila ia siap sepenuhnya.

Pembesaran fasa kedua itu, menurut Wee melibatkan pembesaran sepanjang satu kilometer daripada dermaga terminal laut dalam sedia ada, manakala fasa seterusnya melibatkan penambakan untuk benteng pemecah ombak dan terminal baharu.

Walaupun tiada tarikh jangkaan bagi kerja pembesaran fasa kedua, Wee berkata beliau difahamkan ia dalam proses rundingan bersama pelabur berpotensi dan berada di peringkat akhir, yang diharapkan dapat dimuktamadkan segera.

Wee juga berharap proses itu dapat diselesaikan dalam tempoh sama Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka siap iaitu pada Disember 2026, memandangkan laluan itu bakal menjadi 'jambatan darat' antara Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang, Selangor yang akan memudahkan proses penghantaran kargo selain menjimatkan masa dan kos.

“Pembesaran ini perlu bagi memenuhi keperluan semasa yang semakin pesat dengan kewujudan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di sini selain Pelan Pembangunan Khas Gebeng di Kuantan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan Pahang.

“Ini akan meningkatkan pelaburan dan kegiatan import eksport di Kuantan, selain kedudukan Pelabuhan Kuantan di Laut China Selatan, menjadikanya sebagai laluan penting ke Jepun dan China berbanding Pelabuhan Klang atau di Pulau Pinang yang perlu ke selatan tanah air sebelum masuk ke Laut China Selatan,” katanya.

Berhubung polisi hijau Pelabuhan Kuantan, Wee berkata antara lain ia melibatkan objektif memastikan mutu kebersihan udara, darat dan laut serta pengurusan sisa sentiasa berada di tahap unggul, memperluaskan aspek kecekapan penggunan sumber tenaga dan air serta memacu ke arah ekosistem operasi pelabuhan pintar.

Terdapat lima teras strategik bagi mencapai objektif itu antaranya melaksanakan inisiatif mengurangkan jejak karbon di pelabuhan, mengurangkan tahap pencemaran udara dan laut di pelabuhan serta kawalan pengurusan sisa buangan yang teratur. - BERNAMA
 

Advertisement