Anda di sini

Kalah teruk PRN12, DAP percaya masih ada harapan untuk bangkit dalam PRU15

Advertisement
 

KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak akan berusaha untuk mendapatkan dan memenangi semula kepercayaan serta keyakinan rakyat kepada parti selepas kekalahan teruk. 

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata parti berdepan kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) lalu dengan hanya memenangi dua daripada 26 kerusi yang ditandingi. 

Malah katanya parti kehilangan lima kerusi yang dimenangi pada pilihan raya negeri 2016 kesan peratusan keluar mengundi yang rendah serta pepecahan undi antara parti calon pembangkang lain. 

“Tidak kira apa keputusan pada PRN12 lepas, untuk bergerak ke hadapan, tugas utama jawatankuasa negeri kini adalah untuk memenangi kembali kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada parti. 

“Bagi tujuan itu, tiga perkara perlu dibuat, pertama terus berkhidmat, kedua penyertaan lebih ramai belia dan ketika mempergiatkan publisiti parti,” katanya dalam amanatnya sempena Konvensyen DAP Sarawak hari ini. 

Tambah Chong, meskipun kalah dalam pilihan raya parti akan terus menyediakan khidmat mereka kepada rakyat dan terus bersuara untuk rakyat serta memperjuangkan hak rakyat. 

Parti katanya juga mahu melihat penyertaan lebih ramai belia dalam badan utama pembuat keputusan  seperti jawatankuasa negeri. 

Pemimpin DAP katanya juga perlu mempergiatkan publisiti menerusi platform media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube selari dengan perkembangan semasa. 

Chong juga percaya meskipun tewas dalam PRN12 dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya bertahan selama 22 bulan, namun masih ada harapan untuk bangkit semula. 

“Kita mungkin kecewa tetapi kita tidak boleh putus harapan. Dalam kehidupan bila kita jatuh, kita mesti mencuba lebih kuat sama seperti dalam politik,” katanya. 

Ujar Chong lagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mesti diadakan dalam tempoh 18 bulan yang akan datang. 

Justeru katanya menjadi tanggungjawab jawatankuasa negeri yang baharu untuk bina semula keyakinan dan harapan rakyat dalam pilihan raya umum yang akan datang. 

  • oleh
  • Advertisement