Anda di sini

Dekati pengundi muda untuk menangi lebih banyak kerusi pada PRU15, kata Dr Sim

Advertisement
Dr Sim (tengah) semasa persidangan perwakilan tahunan SUPP 2021 di ibu pejabat SUPP hari ini.
Dr Sim (tengah) semasa persidangan perwakilan tahunan SUPP 2021 di ibu pejabat SUPP hari ini.

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan lebih berusaha melibatkan golongan muda kerana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan menjadi cabaran utama memandangkan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik (AVR) akan berkuat kuasa.

Presidennya, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata parti itu perlu mempergiatkan usaha mendekati golongan muda yang merupakan penentu (kerajaan) berbanding generasi yang lebih tua.

Beliau berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersyukur kerana memenangi 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya negeri (PRN) lalu namun tidak akan sesekali mengambil mudah bahawa golongan muda telah memberi peluang kepada GPS untuk memimpin.

“Golongan muda adalah penentu, jadi kita perlu bekerja keras. (Ahli Parlimen Serian Dato Sri) Richard Riot (Jaem) berseorangan di Parlimen. Kita perlu melawan dalam PRU15 akan datang.

“Kita perlu pastikan akan ada lebih ramai ahli parlimen dari SUPP supaya Dato Sri Richard Riot tidak keseorangan, seterusnya memastikan tiada siapa boleh membuli Sarawak lagi,” katanya pada persidangan perwakilan tahunan SUPP 2021 di ibu pejabat parti di sini hari ini.

Pada PRU 2018, SUPP hanya memenangi satu daripada tujuh kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Parti politik tertua di Sarawak itu tewas di kerusi Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Lanang dan Sibu kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP) serta Miri kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dr Sim yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata, SUPP juga harus mula melihat pada tahun 2027 kerana beliau percaya lebih banyak kerusi baharu akan dipertandingkan.

“Kita perlu bertindak melebihi apa yang ada sekarang. Kita ada banyak kerja untuk dilakukan di dalam parti,” tegasnya.

Beliau berkata pada pilihan raya 18 Disember lepas menunjukkan bahawa rakyat Sarawak secara tegas menolak parti dari Semenanjung.

Menurutnya, SUPP memenangi beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana pengundi Cina kembali menyokong parti itu, namun sebahagian pengundi Bumiputera tidak mengekalkan sokongan mereka.

Jelasnya lagi, jika semua undi pembangkang digabungkan, parti itu mungkin tidak dapat memenangi banyak kerusi.

Pada PRN12, SUPP memenangi 13 daripada 18 kerusi yang dipertandingkan, kebanyakannya menyaksikan pertembungan pelbagai penjuru dengan parti pembangkang utama Parti Sarawak Bersatu (PSB), DAP dan PKR yang saling bertelagah.

Sehubungan itu, Dr Sim menyeru pemimpin parti, ahli dan khususnya wakil rakyat supaya sentiasa turun padang bagi menangani isu yang dihadapi masyarakat.

Beliau berkata, SUPP mengutamakan kebajikan dan kepentingan rakyat Sarawak di atas segalanya sejak ditubuhkan pada 1959.

“Rakyat sentiasa didahulukan dan jika tidak kerana ini SUPP tidak akan berada di sini sejak 1959. SUPP memenangi 13 daripada 18 kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya negeri lalu.

“Sudah tiba masanya untuk turun bekerja kerana saya mahu anda (wakil rakyat) menunaikan janji supaya orang tahu SUPP boleh diharapkan.

“Saya mahu semua pemimpin dalam SUPP tampil dan tidak bermain politik. Kita tidak perlukan ahli yang asyik kata sayang parti tetapi hati tidak pernah sayang parti,” kata beliau.

Advertisement