Anda di sini

DAP tidak akan tubuh sayap belia, sebaliknya tingkat jumlah kumpulan itu di peringkat membuat keputusan

Advertisement
 

KUCHING: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen berkata parti itu tidak akan menubuhkan sayap khas bagi ahli berumur 18 hingga 28 tahun.

Beliau sebaliknya menegaskan parti itu akan melibatkan lebih ramai golongan belia (18-28 tahun) dalam jawatankuasa di peringkat negeri.

"Tidak seperti parti-parti politik lain yang telah mengumumkan mereka akan menubuhkan bahagian baharu khas itu ahli berusia 18 hingga 28, kita akan mempelawa lebih ramai kumpulan ini menyertai jawatankuasa negeri, memperkasakan mereka agar membuat keputusan untuk seluruh negeri.

"Dalam DAP, kumpulan ini (belia) tidak hanya kumpulan kecil atau kedua, tetapi akan berada di tertinggi iaitu badan membuat keputusan iaitu Jawatankuasa Negeri bagi DAP Sarawak.

"Hakikatnya, DAP Sarawak masih memegang rekod mempunyai ahli jawatankuasa membuat keputusan paling ramai dalam kalangan belia, berbanding parti-parti politik lain di Sarawak," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Persidangan DAP Sarawak 2022 hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada laporan-laporan berita mengenai komponen parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) merancang menubuhkan sayap baharu untuk ahli berumur 18 hingga 28 tahun ekoran pelaksanaan Undi18, menurunkan umur mengundi di Malaysia darin 21 tahun ke 18 tahun.

Chong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan dan Ahli Parlimen Stampin berkata DAP telah mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) pada 18 Disember 2021, hanya memenangi dua daripada 26 kerusi dipertandingkan termasuk gagal mempertahankan kerusi dimenangi pada PRN-11 (2016).

Namun begitu ujarnya, DAP mesti melangkah ke hadapan, terus berkhidmat kepada rakyat dan memperkukuhkan publisiti untuk meningkatkan penyertaan belia dalam parti itu.

"Kita tidak menyerah kalah selepas pilihan raya lalu. Pemimpin parti sentiasa ada dan rakyat boleh menghubungi mereka pada bila-bila masa. Inilah ciri khas DAP dan ia adalah satu kebanggaan bagi semua ahlinya," ujarnya.

Advertisement