Anda di sini

57 juruterbang paramotor sertai Northern Tour Paramotor Funfly 2022 

Advertisement
 

KANGAR: Seramai 57 juruterbang paramotor dari seluruh negara menyertai Northern Tour Paramotor Funfly 2022 di Kangar Jaya di sini bermula 14 Januari lepas hingga hari ini.

Presiden Kelab Paramotor Fly High Perlis Datuk Abdul Azib Saad berkata karnival julung kali diadakan di negeri itu dianjurkan oleh Gabungan Kelab Paramotor Bahagian Utara yang terdiri daripada Kelab Paramotor Flyhigh Perlis, Kelab Paramotor Northern Sungai Petani dan Kelab Paramotor Sitiawan Perak.

“Kita harap penganjuran ini mampu menarik minat lebih ramai anak muda menyertai sukan udara ini kerana ia mampu membentuk keyakinan, jati diri dan disiplin tinggi,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Abdul Azib berkata sukan paramotor berpotensi besar untuk dimajukan sebagai sukan pelancongan di Perlis kerana negeri itu mempunyai keindahan alam semula jadi.

Beliau turut berharap karnival itu dapat menjadi acara tahunan dengan bukan hanya sekadar tujuan rekreasi malah menarik lebih ramai pelancong ke Perlis.

Sementara itu, Pengurus Teknikal Northern Tour Paramotor Funfly 2022 Pegawai Waran (B) Zul Majdi Saari yang juga Presiden Kelab Paramotor Sitiawan Perak berkata karnival tersebut dianjurkan berkonsepkan ‘camp and fly’ iaitu peserta menginap di khemah sepanjang karnival berlangsung.

“Ini secara tidak langsung dapat memeriahkan lagi suasana aktiviti sekali gus merapatkan hubungan sesama peserta,” katanya.

Ditanya mengenai pengalaman dalam sukan tersebut, bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu berkata pada mulanya beliau agak bimbang mengenai risiko namun selepas mempelajari teknik daripada jurulatih, beliau menyedari sukan tersebut amat menyeronokkan.

“Bagi saya semua sukan mempunyai risiko tersendiri, apa yang penting adalah peserta perlu mempunyai disiplin, pengetahuan dan latihan secukupnya sebelum dibenarkan terbang,” katanya yang pernah mewakili negara dalam acara sukan paramotor pada temasya Sukan Pantai Asia 2014 di Phuket, Thailand.

Zul Majdi berkata sukan tersebut memerlukan modal sekitar RM12,000 hingga RM13,000 bagi peringkat permulaan dan kos penyelenggaraannya pula tidak membebankan. - BERNAMA
 

Advertisement