Anda di sini

TABS hargai sokongan terhadap program pembangunan bola sepak

Advertisement
 Lokman (tiga kiri) menyaksikan penyerahan sumbangan bola oleh David yang diterima Matasan.
SAKSIKAN: Lokman (tiga kiri) menyaksikan penyerahan sumbangan bola oleh David yang diterima Matasan.




KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya Kota Kinabalu, Lokman Sunggim mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), David Wisom yang menyumbang bola sebagai tanda sokongan terhadap Program Pembangunan Bola Sepak yang dikendalikan TABS ketika ini.


Katanya, walaupun ia merupakan sumbangan peribadi beliau namun ia mencerminkan sokongan baik badan bola sepak negeri terhadap pembangunan sukan bola sepak yang dijalankan.


"Sokongan mana-mana pihak dalam bentuk apa sekali pun, memang kita sangat hargai dan ia sudah tentu dapat membantu pembangunan bola sepak di negeri ini," katanya selepas hadir pada majlis penyerahan sumbangan bola itu, pagi tadi.


Sumbangan bola tersebut disampaikan David kepada Ketua jurulatih TABS, Matasan Ahmad.


Lokman berkata, SAFA pusat sebenarnya memang sentiasa memberi sokongan terhadap program pembangunan yang mereka laksanakan itu selama ini.


Malah, katanya, beliau sendiri pernah memaklumkan kepada Presiden SAFA, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin mengenai program pembangunan yang dijalankan TABS itu ketika beliau mula menerajui kepimpinan SAFA lagi.


"Beliau (Bung) sangat merestui program pembangunan bola sepak itu dan berharap program seumpama itu jika boleh sewajarnya diwujudkan di daerah-daerah di pantai timur seperti Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan lain-lain," katanya.


Menurut beliau, pengurusan TABS akan berusaha membantu sekiranya SAFA pusat mempunyai perancangan sedemikian pada bila-bila masa.


Timbalan Pengerusi TABS itu berkata, tahun lepas, mereka juga telah mengadakan kalobarasi dengan Sabah FC berhubung pembentukan pasukan B12 dan B17 yang dikenali dengan pasukan TABS - Sabah FC.


Berdasarkan memorandum persefahaman (MoU) kedua-dua pihak, pasukan tersebut boleh menyertai pertandingan tempatan dan antarabangsa, katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, TABS dijangka mengadakan karnival bola sepak B12 tahun membabitkan pelatih-pelatih di padang TABS minggu depan.


"Sekiranya tidak aral melintang, unit kejurulatihan akan dapat menganjurkan karnival itu seperti yang dirancangkan," ujar beliau.

  • oleh
  • Advertisement