Anda di sini

Pembangunan sama rata kepada semua komuniti

Advertisement
 Hajiji (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama para tetamu kehormat pada majlis berkenaan.
KENANGAN: Hajiji (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama para tetamu kehormat pada majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan memastikan pembangunan yang adil kepada semua komuniti di Sabah.

Katanya, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mencapai pelbagai kejayaan sejak mengambil alih pemerintahan negeri ini selepas mendapat mandat dari rakyat pada Pilihan Raya Negeri lalu.

"Saya berterima kasih kepada rakyat, khususnya komuniti Cina diatas sokongan berterusan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam usaha membawa kemakmuran kepada Sabah," katanya ketika merasmikan pelancaran Festival Tarian Singa, Naga dan Unicorn anjuran Persatuan Masyarakat Cina Bersatu Sabah Kota Kinabalu (USCCAKK) sempena dengan Tahun Baharu Cina 2022 di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri berharap rakyat Sabah akan terus memberikan sokongan dengan menjadi rakan bersama dalam memastikan agenda pembangunan dapat dicapai.

"Inilah aspirasi saya sebagai Ketua Menteri untuk merancang hala tuju pembangunan Sabah dan rakyat.

"Untuk tujuan ini, kita berjaya melancarkan hala tuju pembangunan lima tahun menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya tahun lalu," katanya.

Hajiji menekankan sekali lagi bahawa kerajaan negeri sentiasa memberikan keutamaan pembangunan modal insan dan kebajikan rakyat dengan menyediakan peruntukan berjumlah RM164.12 juta pada Bajet Negeri 2022 kepada agensi berkaitan, pendidikan dan badan keagamaan.

"Selari dengan semangat Keluarga Malaysia, peruntukan itu akan memberikan manfaat kepada semua bangsa dan agama di Sabah.

"Peruntukan terbesar pernah diluluskan kerajaan negeri berjumlah RM47 juta kepada badan keagamaan bukan Islam dan sekolah vernakular termasuklah sekolah mubaligh pada tahun ini. Ini bukti kerajaan negeri ikhlas terhadap kebajikan semua rakyat di Sabah," katanya.

Berkaitan dengan Tahun Baharu Cina, Hajiji percaya rakyat Malaysia sentiasa mengalu-alukan kedatangan tahun Harimau yang membawa lambang kekuatan, dan keberanian khususnya menghadapi  cabaran-cabaran pandemik COVID-19.

"Saya percaya, keadaan akan bertambah baik dalam tahun ini," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement