Anda di sini

Pasaran getah Malaysia mungkin alami dagangan dalam jajaran kecil minggu depan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia dijangka berada dalam jajaran kecil minggu depan, dengan kecenderungan untuk mengalami ketidaktentuan sekiranya sebarang berita lebih buruk mengenai Omicron atau ketidaktentuan monsun dilaporkan.

Bekas presiden Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Denis Low berkata wujud cakap-cakap mengenai penutupan sempadan sementara di banyak negara Eropah serta negara lain, dan situasi itu adalah negatif bagi program pemulihan ekonomi seperti yang ditunjukkan banyak negara.

Beliau berkata selain itu, hujan lebat yang berterusan telah mengekang pengeluaran getah dan mungkin mengakibatkan berlakunya kekurangan buat sementara waktu.

“Ini mungkin mencetuskan aktiviti pengisian semula stok secara sekali-sekala dan mendorong harga stabil kepada sedikit tinggi,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata musim daun getah luruh yang diramalkan berlaku pada Mac atau April, dilihat akan dialami lebih awal berbanding jangkaan di beberapa kawasan penanaman getah, justeru ini mungkin menambah kebimbangan mengenai kesan perubahan iklim.

Pada dagangan yang baru berakhir minggu ini, pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur dan tinggi kebanyakannya, menjejaki prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau serta data berkaitan penurunan pengeluaran getah asli yang dilaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Data yang dikeluarkan DoSM pada Jumaat menunjukkan pengeluaran getah asli Malaysia merosot sebanyak 26.8 peratus kepada 31,577 tan pada November 2021 daripada 43,127 tan pada bulan sebelumnya

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata penyusutan pengeluaran itu disebabkan oleh gangguan bekalan di peringkat penawaran akibat ketidaktentuan cuaca serta faktor taburan hujan yang tinggi.

Berdasarkan perbandingan tahunan, ia turut menunjukkan pengeluaran berkurangan sebanyak 25.8 peratus daripada 42,554 tan pada November 2020.

Sementara itu, peniaga berkata harga dijangka dipengaruhi oleh ketidaktentuan cuaca di negara-negara pengeluar getah utama minggu depan, di samping menjejaki prestasi ringgit, pasaran niaga hadapan getah serantau serta penanda aras pasaran bagi harga minyak mentah.

“Pasaran akan memantau petunjuk daripada Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mengenai rancangannya bagi menangani inflasi, selain mengikuti rapat aliran kes Omicron di seluruh dunia,” katanya.

Mengikut mingguan, Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) menambah lima sen kepada 745.0 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik 4.5 sen kepada 576.0 sen sekilogram berdasarkan harga rujukan bagi getah fizikal oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Pada 5 petang Jumaat, harga penutup LGM untuk GMM 20 berada pada 749.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal pada 582.0 sen sekilogram. - BERNAMA
 

Advertisement