Anda di sini

Lebih RM1.5 juta dadah dirampas, tiga lelaki ditangkap

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki dan merampas pelbagai dadah bernilai lebih RM1.5 juta dalam serbuan di Jalan Klang Lama di sini dan Puchong, Selangor, Selasa lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Supt Mohd Shokri Abdullah berkata kesemua mereka yang berusia lingkungan 26 hingga 45 tahun ditahan pada 8.40 malam di kawasan tempat letak kereta di sebuah pasar raya, Jalan Klang Lama dan sebuah kondominium di Puchong. 

Beliau berkata hasil kedua-dua serbuan, polis merampas 26.1 kilogram ketamin, 28 gram heroin dan 4,800 biji pil ekstasi yang kesemuanya bernilai lebih RM1.5 juta selain wang tunai berjumlah RM2,280.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan dadah itu dipercayai untuk diedarkan ke pasaran tempatan di sekitar Lembah Klang yang mampu menampung seramai 57,056 pengguna," katanya dalam kenyataan.

Mohd Shokri berkata sindiket berkenaan dipercayai bergiat aktif sejak sebulan lepas dan menjadikan unit kondominium yang mempunyai kawalan keselamatan ketat dengan sewaan RM1,700 sebulan sebagai tempat simpanan dadah sebelum diedar kepada pembeli.

Beliau berkata kesemua lelaki itu direman hingga 17 Jan ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. - BERNAMA
 

Advertisement