Anda di sini

JCC bangunkan pusat kecemerlangan untuk lahirkan ramai atlet kriket

Advertisement
 

JOHOR BAHRU: Majlis Kriket Johor (JCC) telah membangunkan pusat kecemerlangannya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medini, di sini bagi melahirkan lebih ramai atlet baharu sukan tersebut.

Timbalan Presiden JCC Idris Abd Rahman berkata pengambilan pertama bermula Mac, melibatkan 20 pelajar lelaki serta perempuan dari lima sekolah di Johor berusia 13 tahun ke atas, dan akan ditambah pada tahun seterusnya.

Beliau berkata JCC merupakan persatuan kriket pertama mempunyai pusat kecemerlangan yang dipantau dan dikendalikan secara terus oleh persatuan sendiri, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor.

“Kesemua pelajar tersebut, merupakan kumpulan pertama yang akan diberikan perhatian berpandukan perancangan lima tahun pelan pembangunan dan pemerkasaan kriket Johor,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara JCC dengan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di sini hari ini.

Turut hadir Presiden JCC Datuk Avinderjit Singh, Pegawai Belia dan Sukan Majlis Sukan Negeri Johor Mohammad Syafiq Hassan dan Presiden UTAR Prof Ir Dr Ewe Hong Tat.

Idris berkata kesemua pelajar terbabit yang dipilih menerusi satu sesi pemilihan pada Dis lepas akan dilatih oleh guru-guru berpengalaman yang juga bekas pemain kriket kebangsaan.

Beliau pada masa sama menjelaskan terdapat sebuah lagi pusat kecemerlangan seumpama itu di Johor iaitu di SMK Seri Kenangan di Segamat, namun ia dikendalian Persatuan Kriket Malaysia (MCA).

Sementara itu Avinderjit berkata kerjasama dengan UTAR melibatkan program pendidikan, penyelidikan dan pembangunan sains sukan, penglibatan pakar dan perunding sains sukan serta kecergasan bersama pasukan kriket Johor.

“Ini bukan sahaja untuk melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi, tetapi juga cemerlang dalam bidang akademik,” katanya. - BERNAMA
 

Advertisement