Anda di sini

Harap kerajaan ambil tindakan tegas terhadap pihak memalsukan sijil vaksin: Shahril

Advertisement
MOHD SHAHRIL OSIN
MOHD SHAHRIL OSIN



KOTA KINABALU: Kerajaan diminta mengenakan tindakan yang tegas dan hukuman yang setimpal kepada individu yang terlibat dalam sindiket penjualan sijil dan vaksin palsu kerana ia merupakan satu ancaman kepada program imunisasi negara.


Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin (gambar) berkata, tindakan tegas wajar diambil terhadap mereka yang memalsukan sijil vaksin kerana perbuatan itu bertentangan dengan usaha vaksinasi yang sedang berjalan bagi mengekang penularan wabak pandemik COVID-19.


Tambahnya, perbuatan itu juga dilihat akan memberi kesan yang buruk kepada rakyat di negeri ini terutama dari sudut peningkatan kes jangkitan yang akhirnya akan menjejaskan beberapa sektor ekonomi akibat perbuatan sindiket sijil dan vaksin palsu.


"Perbuatan (sindiket jual sijil dan vaksin palsu) ini perlu dibanteras segera dan kerajaan wajar mengambil tindakan yang tegas terhadap mereka yang terlibat bagi memastikan perkara ini tidak berlaku lagi.


"Tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab ini secara tidak langsung akan membawa kepada risiko yang lebih besar dan dan akhirnya rakyat juga yang akan menanggung kesannya, " katanya.


Jelas Shahril lagi, beliau bimbang sekiranya situasi berkenaan tidak ditangani segera dengan baik ia kemungkinan akan membawa risiko kepada anak-anak yang baharu sahaja menjalani sesi persekolahan yang bermula tahun ini.


Justeru beliau berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan lebih mendalam bagi mengesan lagi perbuatan itu agar dapat mencegahnya segera demi memastikan Sabah dapat bebas daripada jangkitan COVID-19.


Khamis lalu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menyatakan kekesalannya terhadap tindakan penjualan sijil vaksin oleh sindiket yang disifatkan sebagai satu perbuatan untuk menggagalkan usaha kerajaan dalam memerangi COVID-19.


Jelas Masidi, tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab itu juga boleh mengakibatkan nyawa terkorban akibat dari skim penipuan yang hanya mahu mendapatkan keuntungan dengan cara mudah sedangkan negara ketika ini berdepan dengan ancaman pandemik yang cukup merbahaya.


Beliau turut berharap pihak polis mengambil tindakan yang sewajarnya dan membuat siasatan supaya pihak terbabit didakwa di mahkamah atas perbuatan itu.

  • oleh
  • Advertisement