Anda di sini

Hanya 25 kes miokarditis dikesan selepas terima vaksin 

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Hanya 25 kejadian kes radang otot jantung atau miokarditis dikesan dalam tempoh 21 hari selepas individu menerima vaksinasi COVID-19, daripada 433,674 kemasukan ke 216 hospital bagi tempoh Februari hingga September 2021.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (gambar) berkata daripada jumlah itu, 14 kes dilaporkan berkaitan vaksin COVID-19 Comirnaty keluaran Pfizer (Pfizer), sembilan berkaitan dengan vaksin CoronaVac (Sinovac) dan dua lagi membabitkan Oxford-AstraZaneca.

Beliau berkata kajian keselamatan vaksin Malaysia dikenali sebagai 'Case-Based Monitoring of Adverse Events Following COVID-19 Vaccination (SAFECOVAC)' tersebut dijalankan Institut Penyelidikan Klinikal, Institut Kesihatan Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kajian SAFECOVAC mendapati, kadar sebenar kejadian miokarditis bagi setiap juta dos yang diberikan ialah 0.9 dalam kalangan penerima vaksin Comirnaty, 0.5 untuk CoronaVac dan 0.7 untuk vaksin Oxford-Astra Zaneca.

“Dalam kalangan mereka yang berumur di bawah 30 tahun, kadar sebenar berlakunya miokarditis adalah 0.87 setiap juta dos yang diberikan bagi Comirnaty dan 0.49 bagi CoronaVac, manakala bagi individu berumur 30 tahun ke atas, kadar sebenar miokarditis ialah 1.0 setiap juta dos bagi Comirnaty dan 0.6 bagi CoronaVac,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata secara kesimpulannya, berdasarkan keputusan kajian SAFECOVAC, data dari sistem Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)- kesan advers susulan imunisasi (AEFI) dan Real-World Data, konsisten dengan kejadian miokarditis yang sangat jarang berlaku, setelah menerima vaksin Comirnaty.

“... jika dibandingkan dengan risiko lebih tinggi untuk mendapat miokarditis daripada jangkitan COVID-19. Tambahan pula, sebahagian besar kes miokarditis yang dilaporkan adalah ringan, terhad kepada individu, dan berupaya untuk sembuh dengan segera,” katanya.

Mengenai kebimbangan terhadap kes miokarditis dan perikarditis berkaitan dengan vaksin terutamanya yang menggunakan teknologi ‘Messenger Asid Ribonukleik’ (mRNA) termasuk Comirnaty bagi populasi remaja, Dr Noor Hisham berkata lebih 33 juta dos vaksin berasaskan mRNA, dikawal selia di negara ini.

“NPRA tidak mengesan sebarang 'Safety Alert' yang membuktikan kesan buruk vaksin Comirnaty, dan KKM memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kerajaan komited untuk terus memantau sebarang tanda amaran keselamatan kepada program vaksinasi, yang sedang berlangsung,” katanya.

Beliau turut memaklumkan penyakit miokarditis kebiasaannya disebabkan oleh virus atau penyakit autoimun. - BERNAMA
 

Advertisement