Anda di sini

Bursa Malaysia dijangka alami dagangan secara berhati-hati minggu depan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka terus mengalami dagangan secara berhati-hati minggu depan, berikutan unjuran pasaran yang lemah khususnya daripada peringkat luaran, namun indeks utama berkemungkinan kekal di atas paras psikologi 1,500, kata peniaga.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata sentimen pelabur diunjurkan kekal lemah bagi jangka terdekat disebabkan faktor luaran seperti peningkatan risiko pasaran dan ketidaktentuan di pasaran global memandangkan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mungkin menaikkan kadar faedah.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan pembelian semasa harga rendah berlaku apabila asas syarikat Malaysia semakin baik.

“Kami juga yakin ekuiti Malaysia berada di bawah nilai berbanding dengan bursa-bursa serantau, sekali gus menawarkan potensi peningkatan yang baik untuk pelabur. Oleh yang demikian, kami mengunjurkan FBM KLCI bergerak dalam julat 1,550 hingga 1,570 minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata FBM KLCI ditutup rendah pada Jumaat berikutan tekanan jualan di seluruh rantau, susut 0.90 peratus atau 14.18 mata untuk berakhir pada 1,555.33.

Thong berkata pasaran serantau utama mencatatkan prestasi rendah berikutan petunjuk negatif yang secara umumnya diberikan oleh Wall Street dalam tempoh semalaman, dengan terutama saham tenaga dan teknologi mengheret pasaran untuk mengalami penurunan.

“Selain itu, kenyataan cenderung kepada kadar faedah tinggi oleh pegawai Rizab Persekutuan AS memberi petunjuk jelas bahawa kadar faedah AS boleh meningkat seawal Mac, sekali gus menamatkan langkah monetari yang amat longgar,” katanya.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 12.22 mata untuk mengakhiri dagangan minggu ini pada 1,555.33 daripada 1,543.11 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 38.90 mata kepada 11,178.52; Indeks FBMT100 kurang 17.99 mata kepada 10,885.65 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 178.67 mata kepada 11,880.81.

FBM 70 merosot 474.84 mata kepada 13,852.57 dan FBM ACE menguncup 412.40 mata kepada 6,279.63.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 444.66 mata kepada 16,152.08;  Indeks Perladangan menambah 42.72 mata kepada 6,761.55 dan Indeks Tenaga naik 15.24 mata kepada 738.09.

Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.69 mata kepada 202.96; Indeks Teknologi turun 13.03 mata kepada 83.14 dan Indeks Penjagaan Kesihatan susut 57.66 mata kepada 2,245.50.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 21.25 bilion unit bernilai RM12.22 bilion daripada 17.76 bilion unit bernilai RM9.18 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 12.53 bilion saham bernilai RM10.69 bilion daripada 9.05 bilion saham bernilai RM7.58 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran sebanyak 1.25 bilion unit bernilai RM160.36 juta berbanding 990.62 juta unit bernilai RM123.12 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula merosot kepada 7.43 bilion saham bernilai RM1.35 bilion daripada 7.68 bilion saham bernilai RM1.46 bilion pada minggu lepas. - BERNAMA
 

Advertisement