Anda di sini

8,555 aduan kenaikan harga barang di seluruh negara sejak Mac 2020

Advertisement
 Alexander (kiri) semasa memantau harga barang di salah sebuah pasaraya di Tawau.
PANTAU: Alexander (kiri) semasa memantau harga barang di salah sebuah pasaraya di Tawau.

TAWAU: Sebanyak 8,555 aduan yang diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkaitan kenaikan harga barang di seluruh negara sejak 18 Mac 2020 sehingga hari ini.  

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya sudah menyediakan beberapa saluran supaya rakyat boleh menyalurkan aduan mereka dengan mudah.

“KPDNHEP tidak menafikan banyak menerima aduan berkenaan kenaikan harga barang di seluruh negara terutamanya sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagaimanapun, aduan tersebut tidaklah terlalu tinggi sehingga boleh menggusarkan rakyat dan KPDNHEP juga sudah menanganinya dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) untuk daerah Tawau,di sini hari ini.

Katanya, kerajaan sedar memang terdapat kenaikan harga barang dan ia adalah masalah global yang bukan hanya berlaku di negara kita sahaja.

“Kerajaan sudah maklum semua faktor yang mendorong terhadap kenaikan harga barang, malah pelbagai inisiatif telah dibuat bagi membantu rakyat.

“PJKM adalah salah satu inisiatif kerajaan yang telah dilaksanakan sejak 7 Disember tahun lalu dan akan terus dilaksanakan sekiranya ada keperluan,” katanya.

Menurutnya, PJKM dilihat sangat membantu rakyat menjimatkan kos perbelanjaan kerana banyak barang keperluan dijual dengan harga murah sehingga 20 peratus daripada yang ditetapkan KPDNHEP.

“Saya berharap rakyat dapat memanfaatkan PJKM yang dilaksanakan di setiap Parlimen di seluruh negara khususnya ketika harga barang naik di seluruh negara.

“Kerajaan juga akan sentiasa mencari solusi untuk membantu rakyat supaya tidak terlalu terbeban dengan masalah kenaikan harga barang keperluan,” katanya.

Sementara itu, Alexander turut menasihatkan supaya penduduk yang berdekatan dengan sempadan negara tidak membantu mengalirkan barang bersubsidi ke negara jiran.

“Kita dapati barang keperluan bersubsidi yang dikhaskan kepada rakyat Malaysia turut dinikmati oleh rakyat negara jiran terutamanya di kawasan sempadan.

“Saya memohon supaya jangan membantu mengalirkan barang tersebut kerana ia akan merugikan rakyat Malaysia yang sepatutnya menikmati keistimewaan itu,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement