Anda di sini

RM1.8 juta kompaun ingkar SOP dikeluarkan di Kuching sepanjang 2021

Advertisement
Anggota operasi melakukan pemeriksaan pematuhan SOP.
Anggota operasi melakukan pemeriksaan pematuhan SOP.

KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching merekodkan sebanyak 3,199 kompaun dikeluarkan mencecah nilai RM1.8 juta atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) pematuhan Op COVID-19 sepanjang 2021.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata 3,092 kompaun dikenakan ke atas individu-individu dan 107 lagi dikenakan ke atas premis.

Menurutnya, pecahan jantina pula merekodkan seramai 2,303 individu yang dikompaun adalah lelaki dan 789 lagi wanita.

"Jumlah nilai kompaun terhadap individu-individu sebanyak RM782,157 dan jumlah kompaun ke atas premis adalah sebanyak RM1,060,000," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kesalahan yang paling kerap dilakukan ialah kegagalan daftar masuk oleh pemilik premis, pekerja atau pelanggan melalui aplikasi MySejahtera atau buku daftar masuk.

"Selain itu, ramai juga pemilik premis dikompaun kerana gagal memaparkan jumlah maksimum pelanggan yang dibenarkan masuk ke premis dalam satu-satu masa.

"Terdapat juga pemilik premis yang dikompaun kerana gagal menyediakan buku daftar masuk ke premis atau kod QR MySejahtera, pengimbas suhu atau pensanitasi tangan dan tiada penjarakan fizikal serta tidak memakai pelitup muka," katanya.

Tegasnya, IPD Kuching tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi SOP yanh ditetapkan.

"Setiap SOP, garis panduan dan prosedur mesti dipatuhi sebaiknya," katanya.

Kesemua kompuan tersebut dikenakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

  • oleh
  • Advertisement