Anda di sini

Pemuda dipenjara sehari, didenda kerana curi duit tabung ibu

Advertisement
 

KUCHING: Padah mencuri wang tabung milik ibunya kerana hendak membeli dadah dan bermain judi dalam talian, seorang pemuda tempatan dijatuhi hukuman penjara satu hari dan didenda RM5,000 di Mahkamah Majistret, hari ini. 

Tertuduh, Ramzie Mohamad, 23, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga sepuluh tahun dan boleh didenda.

Sehubungan itu, Majistret Zaiton Anuar memerintahkan hukuman penjara bagi tertuduh untuk dikuatkuasakan hari ini, selain memerintahkan tertuduh untuk dipenjara sepuluh bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, pemuda bekerja sendiri itu didakwa mencuri tabung tin mengandungi wang simpanan ibunya yang berjumlah RM3,000 dalam satu kejadian pada 7 Januari lalu, jam lebih kurang 6 pagi di kediaman mereka sekeluarga di Kampung Sinar Budi Baru, Jalan Batu Kawa, di sini.

Berdasarkan keterangan kes, mangsa mendapati wang tabung miliknya yang disimpan di dalam almari berkunci telah dibuka dan wang berjumlah RM3,000 hilang dipercayai dicuri oleh tertuduh. 

Hasil siasatan turut mendapati tabung berkenaan ditemui oleh mangsa di dalam almari pakaian bilik tertuduh. 

Difahamkan, ini bukan kali pertama tertuduh bertindak sedemikian malah tertuduh juga dikatakan mencuri untuk membeli dadah dan bermain judi dalam talian.

Akibat tidak tahan dengan sikap tertuduh yang selalu mencuri dan mengganggu barang-barang di dalam rumah, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang.

Setakat berita ini ditulis, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu dikatakan gagal membayar denda terbabit.

  • oleh
  • Advertisement