Anda di sini

Kayuhan pertama Siti Nur Alia di Sepanyol Mac ini

Advertisement
Alia pada temu bual bersama pengamal media sebelum berlepas ke Sepanyol di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu. -Gambar Bernama
Alia pada temu bual bersama pengamal media sebelum berlepas ke Sepanyol di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu. -Gambar Bernama

SEPANG: Atlet berbasikal lebuh raya Terengganu, Siti Nur Alia Mansor bakal memulakan kayuhan pertamanya dalam satu perlumbaan di bumi Sepanyol Mac ini.

Siti Nur Alia, yang melakar sejarah tersendiri menjadi pelumba wanita pertama negara dan Asia Tenggara terpilih menyertai pasukan berbasikal jelajah dunia, Canyon-SRAM Racing Team di Sepanyol itu memaklumkan beliau akan diperkenalkan sebagai pelumba baharu pada Sabtu ini.

“Alia dengar ada perlumbaan pertama bulan Mac ini… Pasukan akan nilai prestasi saya selama tujuh bulan bersama tujuh peserta lain.

“Seorang pelumba sahaja yang akan diserapkan ke skuad elit mereka sekiranya mencapai prestasi mengagumkan selama tujuh bulan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian sebelum berlepas ke Sepanyol di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di Sepang, malam Rabu.

Pelumba berusia 21 tahun itu mengakui tawaran kontrak selama setahun daripada pasukan yang berada di kedudukan kelima dunia itu merupakan peluang besar baginya untuk meningkatkan prestasi seterusnya menyalakan impian layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Walaupun lebih sinonim berlumba dalam kategori trek sebelum ini, beliau yang pernah menjalani latihan bersama jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang di Melbourne pada 2017 berkata beliau tetap akan menjalani latihan dalam kategori itu pada setiap hujung minggu di Sepanyol nanti.

Sementara itu, Siti Nur Alia berkata beliau akan pulang ke Malaysia pada April atau Mei ini bagi menyertai Sukan Malaysia (Sukma) di Kuala Lumpur yang dijadual berlangsung pada Jun.

Justeru, beliau mengimpikan untuk cuba meraih kejayaan membanggakan pada Sukma kali ini selepas meraih pingat perak dan gangsa dalam acara pecut dan 500 meter ujian masa pada edisi 2018 di Perak.

Pengembaraan Siti Nur Alia bermula selepas menerima panggilan daripada bekas jurulatih Terengganu Cycling Team (TSG) Adam Szabo yang kini sedang melatih pasukan di Sepanyol pada Jun lepas, yang berminat untuk mengetengahkan bakat pelumba berkenaan. - BERNAMA
 

Advertisement