Anda di sini

Arena bola sepak negara berduka dengan pemergian Shebby Singh

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Penggemar bola sepak tanah air bersedih dengan pemergian bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh, pada usia 61 tahun secara mengejut pada Rabu.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang berduka dengan pemergian bintang bola sepak yang pernah mewarnai arena bola sepak negara itu, mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang, yang juga dikenali sebagai Shebby Singh, menerusi catatan di Facebook.

“FAM mengucapkan salam takziah kepada keluarga Serbegeth Singh susulan pemergiannya secara mengejut petang tadi. Mendiang Shebby meninggalkan isteri Harbans Kaur yang juga bekas pelari negara serta dua anak, Natassha Kaur dan Sonuljit Singh,” menurut catatan itu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi Bernama, mengesahkan bahawa Shebby Singh meninggal dunia ketika berbasikal di Sunway di Iskandar Puteri lebih kurang pukul 7.30 malam.

Lahir pada 20 Ogos 1960, bakat Shebby yang berasal daripada Kluang, Johor mula dikesan oleh Allahyarham Abdul Shatar Khan, individu yang terkenal dengan reputasi sebagai jurulatih remaja.

Bekas jurulatih pasukan Kuala Lumpur mendiang S. Subramaniam kemudian berjaya memujuk Shebby untuk meninggalkan Johor dan berhijrah menyertai Kuala Lumpur pada 1983.

Menyarung jersi kebangsaan pada kejohanan Piala Presiden Korea Selatan pada 1982, Shebby mengumpul 61 penampilan mewakili negara sehingga persaraannya, selepas beraksi menentang England di Stadium Merdeka pada 1991.

Sepanjang beraksi untuk skuad Harimau Malaya bermula 1982-1991, Shebby telah mewakili negara di tiga temasya Sukan Asia, iaitu 1982 (Delhi), 1986 (Seoul) dan 1990 (Beijing), selain meraih emas Sukan SEA 1989, serta gangsa pada edisi 1985.

Di arena domestik, Shebby dikenali sebagai pemain pertahanan kental sepanjang kerjayanya bersama Johor, Kuala Lumpur, Pahang dan Negeri Sembilan, sebelum mencipta nama sebagai personaliti televisyen bermula 1997, termasuk untuk saluran Astro SuperSport, FoxSports and ESPN Asia.

Selaku tonggak Kuala Lumpur, Shebby muncul juara liga 1986, 1987, 1988 dan 1989, juara Piala Malaysia pada 1987, 1988 dan 1989, juara Piala FA pada 1993 dan 1994.

Selain menjadi penasihat global Blackburn Rovers pada 2012-2013, Serbegeth pernah menjadi penasihat rancangan realiti, MyTeam serta Malacca Telekom FC, selain menjadi Penasihat Teknikal Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sementara itu, JDT turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

“Kelab Bolasepak JDT terkejut dengan berita bahawa bekas Penasihat Teknikal JDT dan pemain Johor FA dan Malaysia, Serbegeth Singh telah meninggal dunia. Keluarga JDT ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Serbegeth. ‘Rest in peace’, Shebby,” menurut catatan di media sosialnya, Johor Southern Tigers.

Bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan juga ternyata sedih dengan pemergian Shebby yang merupakan sahabat baiknya, selain menyifatkan berita tersebut sebagai kehilangan besar buat sukan bola sepak negara.

“Kali terakhir kami berhubung sebulan lepas, di mana kami berbincang mengenai kegagalan skuad Harimau Malaya pada aksi Piala AFF 2020 di Singapura tahun lepas.

“Beliau banyak memberi sumbangan khususnya pendapat serta kritikan, yang sebenarnya kadang-kadang tidak masuk akal tapi ia untuk kebaikan bola sepak kita,” katanya yang pernah beraksi bersama Shebby dalam skuad kebangsaan pada tahun 1982. - BERNAMA

Advertisement