Anda di sini

Anggota Rela, bukan hanya kawal lalu lintas majlis kenduri

Advertisement
 

KANGAR: Tugas dan peranan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) penting walaupun terdapat segelintir masyarakat  memandang remeh dan mempertikai kelibat anggota Rela ketika  melakukan tugasan.

Tugas anggota rela amat sinonim dengan mengawal lalu lintas di majlis kenduri kahwin, pasar malam mahupun majlis keramaian lain, namun, ramai masih tidak tahu pasukan sukarelawan itu turut menggalas peranan penting dalam menjaga keamanan negara dan kesejahteraan rakyat.

Pengarah Rela Perlis Ahmad Muazzan Shah Mohd Salleh mengakui ramai yang tidak mengetahui tugas dan peranan Rela selain daripada mengawal lalu lintas di majlis keramaian kerana pasukan  itu kurang mendapat publisiti berbanding  pasukan keselamatan lain.

Beliau berkata mengikut Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2021, terdapat lima peranan dan tugas seorang anggota Rela iaitu membantu mana-mana pasukan keselamatan, membantu mengubah haluan kenderaan bermotor, mengambil bahagian dalam khidmat masyarakat, mengawal bangunan kerajaan dan menjalankan apa-apa arahan daripada Ketua Pengarah Rela.

Menurut Ahmad Muazzan Shah, peranan Rela dalam membantu pasukan keselamatan negara bukan perkara baharu kerana ia telah bermula sejak awal penubuhan Home Guard (Pengawal Kampung) pada 1948, yang berperanan membantu pihak berkuasa menjaga keselamatan kampung.

“Sehingga kini, anggota Rela masih menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan dalam menyalurkan maklumat awal bagi membantu pihak berkuasa menjaga keselamatan negara,” katanya kepada Bernama.

Ahmad Muazzan Shah berkata peranan Rela semakin berkembang ketika pandemik COVID-19 apabila diberikan tanggungjawab membantu pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam membendung wabak berkenaan.

Beliau berkata dalam situasi penularan itu, Rela Perlis turut terlibat membantu pasukan keselamatan dalam Op Benteng bagi mengawal sempadan negara di persisiran pantai Kuala Perlis daripada dicerobohi penyeludup dan pendatang tanpa izin.

Selain itu, Rela juga membantu pihak berkuasa dalam pengurusan bencana seperti banjir dengan melakukan kerja-kerja pengagihan bantuan kepada mangsa, pembersihan rumah dan sebagainya.

“Peranan dan fungsi Rela sebenarnya adalah luas dan anggota Rela sentiasa siap siaga membantu pasukan keselamatan bila-bila masa diperlukan,” katanya.

Katanya, walaupun tidak mempunyai gaji tetap dan hanya dibayar elaun, semangat sukarelawan yang ditunjukan oleh anggota Rela adalah luar biasa.

“Saya harap semangat sukarelawan tanpa mengharapkan apa-apa habuan terus kekal dalam pasukan Rela dan diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya. - Bernama 

Advertisement