Anda di sini

Syarat pemilikan asing hartanah diturunkan kepada RM600,000

Advertisement
 David (kanan) menerima cenderahati daripada Frankie (kiri) selepas kunjungan hormat itu.
CENDERAHATI: David (kanan) menerima cenderahati daripada Frankie (kiri) selepas kunjungan hormat itu.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersetuju untuk melonggarkan syarat ke atas pembelian hartanah oleh warga asing dengan menurunkan kadar minimum daripada RM1 juta kepada RM600,000 bagi hartanah kediaman bertingkat.

Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi (SEAC) Sabah Tan Sri David Chu berkata, keputusan itu  membolehkan warga asing membeli unit kediaman bertingkat pada harga RM600,000 dan ke atas.

Bagaimanapun katanya, pemilikan asing untuk rumah bertanah dikekalkan pada kadar minimum RM1 juta.

Menurutnya, sebelum ini warga asing hanya dibenarkan membeli hartanah kediaman melebihi RM1 juta di Sabah.

"Namun sejak dua tahun lepas, pandemik COVID-19 menjejaskan pihak pemaju hartanah kerana pasaran tempatan tidak dapat menyerap bekalan hartanah sedia ada.

"Masalah ini ditambah lagi dengan kekangan syarat pinjaman yang ketat," katanya dalam kunjungan hormat Dewan Perniagaan China Sabah (SCCC) kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yang diketuai oleh presidennya Datuk Frankie Liew di sini semalam.

Menurutnya, pasaran hartanah memerlukan pelabur asing untuk membeli unit berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan isu itu kepada Hajiji sebelum bersetuju untuk menurunkan kadar minimum untuk hartanah kediaman bertingkat kepada RM600,000 untuk pemilikan asing.

Katanya, SEAC baru-baru ini mengadakan mesyuarat meja bulat dengan Institut Kajian Pembangunan (IDS) bagi membincangkan program Malaysia MySecond Home (MM2H), termasuk pengeluaran kad pengenalan merah atau Pemastautin Tetap (MyPR) bagi menarik minat warga asing yang dikategorikan sebagai 'terlalu kaya'.

Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan memaklumkan kepada IDS dan kerajaan negeri bahawa warga asing tidak berminat dengan Program MM2H kerana keadaannya tidak menarik bagi mereka.

Justeru David berkata, SEAC mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk mengeluarkan MyPR bagi menarik golongan warga asing yang 'terlalu kaya' dari negara seperti China, Jepun, Korea, Australia, dan Amerika Syarikat ke Sabah.

"Kami mensyorkan prasyarat untuk mendapatkan MyPR di Sabah dengan mendepositkan sejumlah wang, seperti RM3 juta di Bank Pembangunan Sabah.

"Jika kita boleh mendapatkan 10,000 warga asing yang kaya untuk menyertai program itu, Sabah akan mempunyai RM30 bilion untuk membangunkan negeri, seperti membina jalan raya dan jejambat, tanpa bergantung kepada dana Persekutuan," jelasnya.

Beliau berkata, Sabah amat bergantung kepada peruntukan Persekutuan untuk melaksanakan projek pembangunan. Namun ramai pemimpin mengeluh mengenai kelewatan projek berikutan kekurangan dana termasuk Lebuhraya Pan Borneo yang masih kurang daripada 30 peratus siap sehingga kini.

Sementara itu Frankie berkata, objektif utama SCCC adalah untuk menarik lebih ramai pelabur China ke Sabah dan memimpin lebih ramai usahawan tempatan untuk menembusi pasaran China dalam usaha meningkatkan perdagangan dua hala.

Bagi melaksanakan usaha itu, pihaknya memerlukan maklumat daripada kerajaan negeri mengenai dasar pelaburan asing, termasuk insentif cukai atau subsidi untuk membantu Sabah menarik lebih ramai pelabur.

Beliau berkata, banyak firma besar di China berminat untuk melabur di Sabah kerana mereka tertarik dengan sumber asli yang kaya dan tanah subur yang luas di negeri ini.

Turut hadir, Ahli SEAC Datuk John Lo dan Timbalan Presiden SCCC Datuk Soh Poh Soon serta Ahli Jawatankuasa SCCC.
 

Advertisement