Anda di sini

Polis AS tarik juruterbang pesawat terhempas dari laluan kereta api laju

Advertisement
Tangkap layar gambar kamera badan dikeluarkan Jabatan Polis Los Angeles kelmarin menunjukkan kereta api bergerak laju ke arah pesawat yang terhempas ketika anggota polis menarik juruterbang (bawah kanan) dari landasan kereta api di California. — Gambar AFP
Tangkap layar gambar kamera badan dikeluarkan Jabatan Polis Los Angeles kelmarin menunjukkan kereta api bergerak laju ke arah pesawat yang terhempas ketika anggota polis menarik juruterbang (bawah kanan) dari landasan kereta api di California. — Gambar AFP

LOS ANGELES: Seorang juruterbang ditarik ke tempat selamat dari pesawatnya yang terhempas beberapa saat sebelum ia berkecai akibat dilanggar oleh sebuah kereta api yang bergerak laju di California, kata polis kelmarin.

Dalam rakaman kamera badan, juruterbang yang berlumuran darah dapat dilihat terperangkap di dalam kokpitnya ketika anggota polis Los Angeles bergelut untuk mengeluarkannya.

Video tersebut menunjukkan usaha pantas mengejar masa ketika kereta api bergerak dengan laju di atas landasan menuju ke arah pesawat yang terdampar.

Anggota polis berjaya menarik keluar juruterbang, dan mengheretnya ke jalan raya jauh dari landasan, sambil menjerit “Pergi! Pergi! Pergi! Pergi! Pergi!” ketika kereta api itu, yang membunyikan hon, merempuh pesawat tersebut.

Jabatan Polis Los Angeles menyatakan usaha menyelamat dramatik itu berlaku di sebuah subbandar utara di bandar berkenaan, beberapa batu di utara Hollywood.

Pesawat satu enjin tersebut hilang kuasanya sejurus selepas berlepas dari sebuah lapangan udara berhampiran dan juruterbang terpaksa membuat pendaratan kecemasan di atas sebatang jalan raya bandar, yang mana separuh badan pesawat terdampar di atas landasan kereta api.

Juruterbang itu, yang tidak dinyatakan namanya, telah dibawa ke hospital dan berada dalam keadaan stabil. — AFP

Advertisement