Anda di sini

Peniaga didenda RM7,000 jual kelengkapan komunikasi tidak diperakui

Advertisement
 

PETALING JAYA: Seorang peniaga didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menjual kelengkapan komunikasi tidak diperakui oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), dua tahun lepas.

Hakim Norshila Kamaruddin turut memerintahkan Ooi Hang Sheng, 27, selaku Orang Kena Saman (OKS) dipenjara enam bulan jika dia gagal membayar denda itu.

Ooi membayar denda tersebut.

Dia didakwa menjual tujuh unit Android TVBOX pelbagai jenama tidak diperakui sebagaimana dikehendaki di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 di sebuah pasar raya di Damansara Uptown, di sini pada 12.30 tengah hari, 9 Julai 2020.

Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Norshila bertanya kepada OKS mengenai harga kelengkapan (Android TVBOX) yang dijualnya dan lelaki itu menjawab,"Saya jual antara RM200 dan RM300 dan tidak tahu ini adalah salah. Saya berjanji tidak akan buat lagi".

Hakim itu turut menasihati OKS supaya tidak lagi menjual barang-barang yang tiada perakuan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa MCMC Nazrul Nizam Mohd Zameri memohon mahkamah mengenakan denda setimpal kerana ini kesalahan kali pertamanya, namun OKS yang tidak diwakili peguam merayu denda ringan atas alasan dia menanggung keluarga serta menyesal dengan perbuatan dilakukan. - Bernama 

Advertisement