Anda di sini

Jawatankuasa pilihan khas bincang isu saham Azam Baki 19 Jan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Satu mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Agensi-Agensi Bawah Jabatan Perdana Menteri akan diadakan pada 19 Jan ini bagi membincangkan isu pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Azam Baki (gambar).

Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong, yang juga ahli jawatankuasa itu, ketika mengesahkan perkara tersebut berkata beliau menerima pekeliling mengenai mesyuarat berkenaan daripada Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin hari ini.

Khoo berkata beliau bersama tiga lagi ahli jawatankuasa itu telah menulis surat kepada Setiausaha Dewan Rakyat meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar supaya mengadakan satu mesyuarat bagi membincangkan isu tersebut.

"Setiausaha kemudian memaklumkan bahawa Menteri telah memberikan maklum balas dan langkah seterusnya ialah mesyuarat akan diadakan pada 19 Jan ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berharap Azam dapat hadir untuk menjelaskan sendiri isu itu kepada jawatankuasa tersebut.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Abdul Latiff Abdul Rahman (Kuala Krai-PAS) dan turut dianggotai Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak-UMNO), Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit-UMNO), Anyi Ngau (Baram-Gabungan Parti Sarawak), Shaharizukirnain Abd Kadir (Setiu-PAS), William Leong Jee Keen (Selayang-PKR) dan Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar-Warisan). - Bernama 

Advertisement