Anda di sini

Dua wanita dipenjara tiga bulan kerana terlibat dalam pelacuran

Advertisement
 

MIRI: Dua wanita masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret kerana kesalahan terlibat kegiatan pelacuran.
    
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas kedua-dua tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan pada 27 November tahun lalu.
    
Khairunnisaa' Jamian, 40, dari Jalan Tudan dan Nancy Ah Sing, 32, dari Sibu didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 kanun yang sama.
    
Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
    
Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh dituduh mencari langganan bagi maksud persundalan.
    
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11.05 malam, 27 November tahun lalu di sebuah bilik hotel bajet di sini.
    
Menurut keterangan kes, bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 11.05 malam, 27 November tahun lalu, sepasukan polis diketuai Inspektor Shamm Nazfadley Nasir telah membuat serbuan ke sebuah bilik hotel bajet di sini.
    
Sebelum serbuan dilakukan, seorang anggota dihantar ke hotel itu untuk membuat penyamaran dan mendapati ada kegiatan pelacuran ditawarkan di situ dengan bayaran RM200 untuk sekali perkhidmatan.
    
Semasa serbuan dilakukan, polis telah menahan dua wanita kerana disyaki terlibat kegiatan pelacuran di hotel berkenaan.
    
Semasa tangkapan dilakukan, polis turut merampas sekeping kondom yang belum dipakai untuk dijadikan barang kes.
    
Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu.

  • oleh
  • Advertisement