Anda di sini

SOP ketat di PPS elak penularan COVID-19

Advertisement
Uggah pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat JPBNS hari ini. - Gambar UKAS
Uggah pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat JPBNS hari ini. - Gambar UKAS

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata prosedur operasi standard (SOP) yang ketat akan dilaksanakan di semua pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini bagi mengelak penularan COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir.

Beliau berkata ia termasuk mengasingkan mereka yang bergejala dan berisiko tinggi daripada mangsa-mangsa banjir yang lain.

"Kita ada SOP yang ketat untuk dipatuhi, selain ujian saringan kesihatan ke atas mangsa banjir, kita akan mengasingkan mereka yang bergejala dan berisiko tinggi. Jika mereka kategori tiga, empat dan lima, mereka akan dihantar ke hospital.

"Bagi tujuan ini kita akan menempatkan pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di semua PPS," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) di sini, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi JPBNS berkata kali ini sebanyak 625 PPS akan dibuka di seluruh Sarawak bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir susulan hujan lebat yang diramal berlaku selama beberapa hari akibat Munson Timur Laut ketika ini.

Beliau berkata bagi memastikan penjarakan fizikal dipatuhi di PPS, mangsa akan ditempatkan di khemah masing-masing dan penyediaan makanan tidak boleh dilakukan secara bufet.

"Sekarang satu keluarga ditempatkan dalam satu khemah. Mereka tidak boleh berkumpul seperti sebelum ini.

"Makanan juga tidak lagi dihidang secara bufet. Kalau di bandar, makanan akan dibungkus untuk dihantar ke PPS dan kalau di luar bandar, ia akan dimasak oleh jawatankuasa dilantik, kemudian dibungkus untuk diagihkan kepada mangsa dan mesti makan di dalam khemah masing-masing," jelasnya.

Uggah berkata SOP berkenaan dilihat dapat mengurangkan penyularan COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS.

"Apa yang penting, komuniti itu sendiri harus memainkan peranan masing-masing. Maklumkan kepada petugas di PPS jika ada demam atau bergejala supaya mereka diasingkan.

"Sentiasalah mematuhi SOP ditetapkan sepanjang anda berada di PPS," tambahnya.

  • oleh
  • Advertisement