Anda di sini

Sebanyak 329 KIR terima bantuan pembelian barangan keperluan RM2,500 setakat hari ini

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Sebanyak 329 ketua isi rumah (KIR) khususnya di sekitar Gombak dan Sepang yang terkesan dengan bencana banjir baru-baru ini telah menerima Bantuan Pembelian Barangan Keperluan sebanyak RM2,500 hari ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri dalam ciapan di Twitter memaklumkan bantuan itu dikreditkan terus ke akaun penerima melalui pindahan dana elektronik (EFT) dan proses penyaluran bantuan itu dilaksanakan sepenuhnya oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri melalui pejabat-pejabat pembangunan negeri.

“Selain EFT, kaedah serahan adalah secara tunai di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan agihan dari rumah ke rumah.

“Hari ini, Kerajaan Persekutuan mula salurkan Bantuan Pembelian Barangan Keperluan sebanyak RM2,500 kepada KIR yang telah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000.

"KIR yang telah menerima BWI tidak perlu membuat pendaftaran semula bagi menerima bantuan ini,” katanya.

Perdana Menteri berharap inisiatif itu dapat membantu meringankan beban Keluarga Malaysia yang terkesan dan dapat ditangani segera supaya usaha kerajaan dapat ditumpukan kepada pemulihan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara pada masa akan datang.

Semalam, Ismail Sabri berkata pembayaran inisiatif bantuan meringankan beban mangsa banjir antaranya sumbangan pembelian barangan keperluan berjumlah RM2,500 akan disalurkan bermula hari ini.

Beliau sebelum itu memaklumkan sebanyak 53,896 atau 95.7 peratus daripada 56,333 KIR terlibat banjir telah menerima BWI setakat 1 tengah hari tadi.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia antaranya meliputi BWI sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah berbanding RM500 sebelum ini. - Bernama 

Advertisement