Anda di sini

Kami semakin serasi, kata Peng Soon

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Keserasian antara Chan Peng Soon dan Valeree Siow ternyata semakin menjadi meskipun tidak sampai sebulan digandingkan sebagai beregu campuran baharu negara.

Peng Soon berkata beliau gembira kombinasi dengan pasangan baharunya itu bertambah baik lebih-lebih lagi menjelang penampilan sulung mereka di Terbuka India, bermula hari ini hingga Ahad ini (16 Jan).

“Setakat ini saya dan Valeree menjalani sesi latihan dengan baik sebelum bermulanya Terbuka India. Saya agak gembira melihat persembahan beliau sekarang,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun, pemain berusia 33 tahun itu mengakui tidak meletakkan sebarang sasaran dalam kejohanan tersebut kerana tidak mahu memberi tekanan kepada Valeree, yang baru berusia 19 tahun.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu sebaliknya berharap mereka dapat menghasilkan keputusan yang baik dalam kejohanan yang akan berlangsung di Dewan Tertutup K.D Jadhav di New Delhi.

Peng Soon-Valeree yang diletakkan sebagai pilihan kelima dalam kejohanan itu, akan membuka gelanggang dengan menentang pasangan bukan pilihan dari India, Raju Mohamed Rehan-Anees Kowsar Jamaludeen.

Pada 10 Dis lepas, Valeree dipilih sebagai pasangan baharu Peng Soon selepas pemain berpengalaman itu mengumumkan berpisah dengan Goh Liu Ying,  selepas 13 tahun bergandingan dengan pencapaian tertinggi merangkul pingat perak di temasya Olimpik Rio 2016. - Bernama 

Advertisement