Anda di sini

Dua lagi mayat tragedi tebing runtuh di Brazil ditemui

Advertisement

MINAS GERAIS: Ahli keluarga dan rakan-rakan kelmarin meratapi 10 orang yang maut dalam tragedi tebing curam runtuh ke atas bot pelancong di sebuah tasik di Brazil, selepas dua orang yang hilang disahkan meninggal dunia.

Sabtu lepas, satu bahagian batu besar pecah dari sebuah cerun dan terjatuh ke atas empat bot di Tasik Furnas di wilayah Minas Gerais di timur Brazil, ketika para pelancong dari bot lain hanya mampu melihat.

Mayat dua orang yang dilaporkan hilang telah dijumpai kelmarin oleh anggota penyelamat, pesuruhjaya polis awam Marcos de Souza Pimenta memberitahu wartawan.

Lebih 30 orang mengalami kecederaan, termasuk sembilan yang telah dimasukkan ke hospital, menurut pihak berkuasa.

Mangsa maut merupakan sebahagian daripada sekumpulan pelancong yang terdiri daripada keluarga dan rakan mereka yang menaiki bot yang mengalami impak paling besar akibat runtuhan batu itu, menurut kepada anggota penyelamat.

Kesemua mangsa adalah rakyat Brazil yang berusia antara 14 hingga 68 tahun, berdasarkan kepada siasatan awal.

Pelancong berkumpul untuk melihat tebing, gua dan air terjun yang terdapat di sekeliling perairan hijau di Tasik Furnas yang terbentuk oleh empangan hidroelektrik Furnas.

Rakaman video dramatik dikongsikan dalam rangkaian sosial merakamkan detik tebing itu runtuh.

Sebuah rakaman vido menunjukkan sebelum insiden beberapa orang memberikan amaran bahawa banyak batu jatuh dan menjerit kepada bot lain agar menjauhi kawasan berdekatan tebing.

Pemandangan menunjukkan bot-bot pelancong berlabuh di tebing Tasik Furnas di Capitolio, Minas Gerais, kelmarin. - Gambar AFP
Pemandangan menunjukkan bot-bot pelancong berlabuh di tebing Tasik Furnas di Capitolio, Minas Gerais, kelmarin. - Gambar AFP

Presiden Jair Bolsonaro menghantar ciapan semula sebahagian video itu dalam akaunnya dan menyatakan kejadian itu sebagai satu malapetaka.

Ramilton Rodrigues, rakan kepada salah seorang mangsa terkorban, menunggu bersama ahli keluarga bagi mayat-mayat untuk tiba di institusi forensik di Passos, sebuah bandar kira-kira 44 kilometer dari tempat kejadian.

"Kawan saya datang ke Capitolio untuk menyambut hari lahirnya, beliau sepatutnya berusia 25 tahun Ahad ini, namun telah terbunuh sehari sebelumnya,” Rodrigues memberitahu AFP ketika menunggu dalam suasana yang sangat menyedihkan.

Sebuah skuad penyelam terpaksa menangguhkan pencarian mereka kelmarin atas sebab keselamatan, namun anggota penyelamat lain terus bekerja.

Hujan lebat luar biasa yang telah berlaku beberapa hari lepas di tenggara Brazil kemungkinan punca kejadian runtuhan itu, menurut pihak bomba.

Pakar geografi Eduardo Bulhoes dari Universiti Persekutuan Fluminense memberitahu AFP bahawa batu jatuh di kawasan itu kemungkinan besar berlaku ketika bulan-bulan tengkujuh iaitu Disember dan Januari.

Bagi mengelakkan kemalangan pada masa akan datang kata beliau, adalah dinasihatkan untuk memastikan pelawat menjauhi kawasan tebing ketika musim hujan. – AFP

Advertisement