Anda di sini

Tebing runtuh menimpa bot pelancong di Brazil, tujuh maut

Advertisement
Gambar serahan Jabatan Bomba Minas Gerais menunjukkan kawasan di mana ketulan batu besar pecah dari tebing menimpa beberapa bot pelancong di kawasan ngarai Tasik Furnas, bandar Capitolio di negeri Minas Gerais kelmarin. - Gambar AFP
Gambar serahan Jabatan Bomba Minas Gerais menunjukkan kawasan di mana ketulan batu besar pecah dari tebing menimpa beberapa bot pelancong di kawasan ngarai Tasik Furnas, bandar Capitolio di negeri Minas Gerais kelmarin. - Gambar AFP

RIO DE JANEIRO: Sekurang-kurangnya tujuh orang terkorban dan tiga orang hilang selepas sebuah tebing runtuh menimpa beberapa bot yang membawa pelancong di sebuah tasik di Brazil, menurut pihak berkuasa kelmarin.

Paaukan penyelamat termasuk sebuah skuad penyelam dan anggota dari Pasukan Tentera Laut Brazil bergegas ke Tasik Furnas di wilayah Minas Gerais, di mana pelancong yang panik tidak mampu berbuat apa-apa apabila seketul batu besar yang pecah dari tebing jatuh ke atas tiga bot.

Angka rasmi terkini adalah tujuh kematian manakala tiga mangsa masih hilang, jurucakap bomba Minas Gerais, Pedro Aihara menyatakan pada malam Sabtu.

Seramai 32 orang lagi tercedera, termasuk sembilan orang yang dimasukkan ke hospital, kata pihak berkuasa.

"Anggota bomba pada mulanya melaporkan 20 orang hilang, namun kemudian didapati kebanyakan mangsa terbabit sudah pergi sendiri ke hospital untuk mendapatkan rawatan," Aihara menyatakan dalam pesanan suara dihantar kepada wartawan.

Pelancong berkumpul untuk melihat tembok batu, gua besar dan air terjun yang mengelilingi kawasan perairan hijau di Tasik Furnas yang terbentuk daripada empangan hidroelektrik Furnas.

Video dramatik yang dikongsikan dalam rangkaian sosial merakamkan detik-detik ngeri ketika tebing itu runtuh ke atas tiga buah bot.

Sebuah lagi video yang dimuat naik dalam media sosial menunjukkan beberapa saat sebelum kejadian di mana beberapa orang  memberikan amaran banyak batu jatuh dan menjerit kepada bot lain agar menjauhi kawasan tembok.

Presiden Jair Bolsonaro memuat naik sebahagian video itu dalam akaun Twitternya dan melaporkan bahawa sebaik sahaja kejadian malang itu berlaku, Tentera Laut Brazil telah pergi ke tempat kejadian bagi menyelamatkan mangsa dan membawa mangsa yang tercedera.

Pencarian oleh penyelam terganggu semalaman atas sebab-sebab keselamatan dan diteruskan pada waktu pagi, namun anggota penyelamat lain terus bekerja di kawasan itu.

Hujan yang sangat lebat melanda beberapa hari lepas di tenggara Brazil dipercayai punca kejadian tersebut, menurut kepada anggota bomba. – AFP
 

Advertisement