Anda di sini

Presiden baharu MABA ikrar bantu kembalikan kegemilangan bola keranjang negara dalam enam tahun 

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) yang baharu dilantik Datuk Lee Tian Hock berikrar untuk mengembalikan kegemilangan skuad negara dalam tempoh enam tahun dari sekarang.

Lee menggantikan Datuk Tan Kang Yong yang melepaskan  jawatan presiden  disandangnya berkata ini termasuk membawa pulang pingat emas dalam acara 5X5 lelaki di Sukan SEA, yang kali terakhir dimenangi negara pada edisi 1989.

“Pelan jangka sederhana saya ialah enam tahun dan percayalah kami akan memperoleh sebutir pingat dan beraksi dengan lebih baik daripada Sukan SEA lepas,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat agung  luar biasa persatuan itu di sini pada Ahad. 

Kali terakhir skuad lelaki negara membawa pulang pingat dalam  acara 5x5 ialah pada Sukan SEA 2007 di Thailand selepas memperoleh gangsa sementara skuad wanita membawa pulang emas pada Sukan SEA 2017 di sini tetapi gagal memenangi sebarang pingat dalam edisi 2019. 

Pada Sukan SEA kali ini, Lee merasakan skuad wanita 3x3 mempunyai peluang lebih cerah memenangi pingat berbanding kategori lain di Hanoi, Vietnam.

Malaysia memenangi gangsa dalam acara 3x3 wanita, yang merupakan satu-satunya pingat negara dalam sukan bola keranjang pada Sukan SEA lepas di Manila, Filipina.  

Selain daripada memenangi pingat di Sukan SEA, Lee juga telah merangka empat projek iaitu pemodenan bangunan MABA di sini, latihan lebih mendalam untuk skuad negara, melaksanakan program pemain naturalisasi dan  pelancaran sebuah liga profesional bola keranjang.

Lee juga memaklumkan MABA akan mengadakan satu mesyuarat exco pada 22 Jan ini untuk membincangkan hala tuju strategik masa depan termasuk pelan tahun ini untuk skuad negara.  

Beliau juga berharap lain-lain ahli gabungan MABA akan bekerjasama bagi memastikan semua rancangan berjalan lancar untuk kebaikan senario bola keranjang Malaysia.

Sementara itu, Lee juga menyumbangkan RM1 juta kepada MABA untuk perbelanjaan operasi tahunannya selain daripada menamakan Tan Kee Hian bagi menggantikan Tong See Koou sebagai setiausaha agung persatuan itu yang baharu. - BERNAMA
 

Advertisement