Anda di sini

Banjir: Mangsa di Johor, Melaka semakin berkurangan, Pahang kekal

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Melaka dan Johor semakin pulih apabila mangsa banjir di dua negeri berkenaan menurun pagi ini manakala Pahang tidak berubah.

Di Johor,  jumlah mangsa banjir terus susut kepada 3,161 orang daripada 913 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 3,441 individu, petang semalam.  

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan berkata empat daerah masih terjejas banjir melibatkan 40 pusat pemindahan sementara (PPS) dengan Segamat terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,246 orang, diikuti Muar (1,107), Tangkak (678) dan Batu Pahat (130).

"Terdapat tujuh PPS telah ditutup di Segamat iaitu Balai Raya Sekolah Kebangsaan Mensudut lama, Bukit Limau Manis, Kampung Chodan, Dewan Serbaguna Kampung Paya Besar, Sekolah Menengah Kebangsaan Gemereh, Surau Al-Muhtadeen dan Dewan Serbaguna Taman Sri Alam 2," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata lima sungai masih berada di paras bahaya iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat; serta Sungai Pagoh di Kampung Olak Sepam, Sungai Muar di Panchor, Sungai Muar di Liang Batu, dan Sungai Muar di Bukit Kepong, yang kesemuanya terletak di Muar.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata mangsa banjir di Melaka kini berjumlah 258 orang daripada 72 keluarga pagi ini dengan semuanya masih ditempatkan tiga PPS di Jasin.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir pagi ini seramai 141 orang di empat PPS di tiga daerah, tidak berubah dari malam tadi, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri. 

Pekan mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 66 orang melibatkan mangsa banjir tengkujuh yang bermula pertengahan bulan lepas manakala mangsa di Rompin (40 orang) dan Maran (35 orang) merupakan mangsa bah gelombang kedua yang berlaku pada hari pertama 2022.

Jabatan Meteorologi pula meramalkan cuaca di tiga daerah terlibat tidak hujan sepanjang hari. - BERNAMA

Advertisement